PM Anwar mahu badan berkanun lebih telus, lakukan anjakan paradigma

Bernama
Ogos 9, 2024 06:48 MYT
Perdana Menteri berucap pada pelancaran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BBP), iaitu instrumen dan rangka ekosistem tatakelola berkaitan BBP hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu badan berkanun persekutuan melakukan anjakan paradigma dan bersifat lebih telus dengan melihat semula struktur dan visi penubuhan masing-masing serta mengelak daripada melakukan tindakan yang melanggar tatakelola.
Beliau berkata walaupun secara keseluruhannya prestasi badan berkanun persekutuan agak membanggakan, namun terdapat ruang yang boleh diperbaiki bagi memastikan penubuhannnya tidak menyimpang daripada matlamat asal.
Beliau memberi contoh berdasarkan laporan yang diterima daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terdapat sebuah agensi yang sepatutnya menolong orang miskin, sebaliknya menubuhkan 79 anak syarikat yang tiada kena mengena dengan tujuan asal penubuhannya.
"Daripada 79 anak syarikat ini, lebih 50 mengikut laporan Datuk Seri Ahmad Zahid, yang buat kajian, (laporan) sampai kepada beliau, mengalami kerugian tetapi pengerusi lembaga dapat elaun tetap.
"Jadi maknanya kalau pengerusi lembaga dapat elaun RM5,000 atau RM1,000, semua 79 syarikat juga dipengerusikan beliau (pengerusi lembaga) akhirnya dia dapat RM79,000 sebulan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di sini hari ini.
Perdana Menteri yang meluahkan rasa hairan mengapa perkara itu berlaku berkata, ada pihak yang mengatakan ia berlaku kerana pengerusi lembaga syarikat itu dilantik dari kalangan ahli politik, bagaimanapun katanya pelanggaran tatakelola boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.
"Tidak benar, kerana yang profesional pun begitu juga, dia boleh jadi professional cheaters, ini kaedah dan tatakelola, ada penjawat awam yang melanggar tatakeola, ada orang politik juga sama, ada juga pengurusan.
"Kita lantik - baik orang politik, pengurus profesional atau penjawat awam, asalkan dia ikut peraturan dan dipantau lebih teliti terutamanya oleh wakil Kementerian Kewangan dan Ketua Audit Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya
Sehubungan itu beliau mahu supaya SPRM serta Ketua Audit Negara lebih tegas dan "menerobos" secara menyeluruh ke semua agensi dan badan berkanun persekutuan bagi mengelak berlakunya pelanggaran tatakelola dan rasuah.
Beliau berkata kerajaan juga akan mengkaji untuk memberi tambahan peruntukan bagi memperluas mekanisme pemantauan audit, mencakupi semua peringkat iaitu persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Perdana Menteri berkata langkah itu bagi memastikan operasi agensi atau badan berkanun pada masa depan lebih telus serta mengelak daripada berlakunya rasuah dan tindakan mengaut keuntungan semata-mata.
"Agensi-agensi ini penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi, terutama pada peringkat awal untuk bantu Bumiputera, tetapi pelanggaran peraturan dan kecenderungan untuk mengaut keuntungan berlebihan menyebabkan hak dan kepentingan Bumiputera dikhianati, ini kita bimbang," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri melancarkan Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BBP), iaitu instrumen dan rangka ekosistem tatakelola berkaitan BBP.
Ia antara lain turut memberi penekanan kepada pemerkasaan peranan Audit Dalam secara menyeluruh di peringkat BBP, termasuk syarikat dan perbadanan di bawah BBP.
Turut hadir pada program itu adalah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Hadir sama adalah Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azman Ibrahim.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #Badan Berkanun #anjakan paradigma #penjawat awam