PM Anwar luang masa tonton pementasan teater Haji Murat

Bernama
Jun 26, 2024 23:47 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama para pelakon teater ‘Haji Murat’ pada pementasan perdananya di Balai Budaya Tun Syed Nasir Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menonton persembahan Teater Perdana 'Haji Murat' yang dipentaskan selama empat hari di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini bermula malam ini.
Pementasan teater berdasarkan dari novella penting dan karya terakhir sasterawan ulung Rusia Leo Tolstoy itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan tiga orang cucu mereka.
Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dan Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan.
Karya yang berasal daripada novel pendek tulisan Tolstoy itu diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh penggiat sastera dunia Dr Victor Pogadaev dan disunting Dr Anwar, sebelum diterbitkan DBP pada 2001.
Perdana Menteri dalam ucapannya berkata novel itu dianggap antara karya penceritaan yang terindah dan terbaik di dunia dan perlu dihebahkan dengan lebih meluas.
"Saya fikir perlu untuk ajak anak-anak muda lihat kekuatan novel pendek yang dianggap seperti saya sebut antara karya penceritaan yang terindah dan terbaik di dunia.
"Saya masih belum mengerti mengapa di dunia barat ini tidak terlalu dihebahkan?. Kita tak payah tunggu mereka, biar kita hebahkan tentang manfaat perjuangan ini dan karya sastera yang luar biasa," katanya.
Sementara itu, Dr Anwar berkata skrip drama pentas itu telah disiapkan 23 tahun lalu dan dapat dipentaskan sempena Ulang Tahun ke-68 DBP.
"Karya pada malam ini terasa kehebatan kerana novelnya mengandungi pemikiran luar biasa tentang perjuangan dan pengorbanan, yang berkuasa dan yang dikuasai, mengandungi emosi yang mengguris hati," katanya sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan drama itu.
Karya berkenaan yang mengangkat tema jihad dan perjuangan bangsa ditulis berdasarkan kisah benar yang berlaku pada 1851, melibatkan pejuang Chechen bernama Haji Murat yang membentuk perikatan dengan Rusia yang pernah ditentangnya, kerana ingin membalas dendam.
Novella itu yang mengisahkan penaklukan empayar Rusia ke atas warga Muslim di wilayah Dagestan, Kaukasus Utara, dibawa Perdana Menteri ketika mengajar di Amerika Syarikat sebelum ini, di saat ramai ketika itu membicarakan soal Islamofobia dan terorisme pasca serangan 9/11.
Pementasan Teater Perdana Haji Murat yang diarahkan A Wahab Hamzah dan diuruskan Badan Budaya DBP itu melibatkan sekitar 100 pelakon termasuk nama-nama gah dalam seni teater seperti Che Kem, Dr Rusdeen Suboh dan Ard Omar.
-- BERNAMA
#teater #Haji Murat #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #Leo Tolstoy
;