PM Anwar luang masa tinjau Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI

Bernama
Disember 9, 2023 13:31 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni orang ramai ketika menghadiri Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa meninjau Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Anwar yang tiba kira-kira 11.30 pagi disambut Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Perdana Menteri kemudian berkunjung ke reruai beberapa kementerian termasuk Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan menerima cenderahati daripada agensi-agensi di bawah KKD seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Orang ramai juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan pemimpin nombor satu negara itu.
Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI diadakan selama tiga hari bermula semalam dengan acara kemuncaknya adalah majlis perasmian penutupan yang dijadual disempurnakan oleh Anwar, esok.
Program itu bertujuan untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar dan inisiatif baharu setiap kementerian kepada rakyat di samping meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju kerajaan bagi membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat, melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI #Stadium Nasional Bukit Jalil #Fahmi Fadzil
;