PM Anwar lawat Qatar mulai Ahad
Bernama
Mei 11, 2024 18:15 MYT
Mei 11, 2024 18:15 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan rasmi ke Qatar dari 12 hingga 14 Mei untuk mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama di antara Malaysia dan Qatar di dalam pelbagai aspek, kata Kementerian Luar (Wisma Putra).
Dalam kenyataannya pada Sabtu, Wisma Putra berkata lawatan sulung Perdana Menteri ke Negara Teluk itu adalah atas jemputan Amir Qatar Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani dan bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Qatar.
"Selain diberikan sambutan rasmi oleh Amir Qatar, Perdana Menteri juga akan menghadap Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani," katanya.
Lawatan ini juga akan melibatkan pertemuan dua hala di antara Perdana Menteri dengan Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani, Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar.
Wisma Putra berkata kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kemajuan hubungan dua hala terutamanya mengenai kerjasama ekonomi dan pendidikan serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk konflik Palestin-Israel.
Semasa di Doha, kementerian itu berkata Perdana Menteri akan menyertai Forum Ekonomi Qatar (QEF) Keempat 2024 dan bertemu dengan kapten-kapten industri dan para pelabur dari Qatar sebagai usaha menarik pelaburan bagi inisiatif Ekonomi Madani .
Beliau juga akan menghadiri pertemuan dengan diaspora Malaysia di Doha, katanya.
Wisma Putra berkata Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Dari Januari hingga Mac 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Qatar meningkat 178.4% kepada RM1.43 bilion (AS$303.9 juta) berbanding RM514.9 juta (AS$116.7 juta) untuk tempoh yang sama pada 2023.
Pada tahun 2023, Qatar merupakan rakan dagangan kelima terbesar Malaysia, destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import keenam terbesar dari rantau Asia Barat.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim
#lawatan rasmi
#Qatar
#Amir Qatar Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani
#hubungan diplomatik