PM Anwar lawat mangsa banjir, janji segerakan projek tebatan banjir
Astro Awani
Mac 5, 2023 12:39 MYT
Mac 5, 2023 12:39 MYT
SEGAMAT: Kerajaan akan menyegerakan projek tebatan banjir bernilai RM600 juta atau lebih bagi mengatasi masalah banjir yang melanda di beberapa negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pekara berkenaan selepas membuat tinjauan banjir di Segamat pada Ahad.
Anwar jelaskan projek tersebut tetap perlu melalui proses tender seperti biasa dan ia harus dilaksanakan pada Jun nanti.
"Isu ini kalau tidak dilakukan apa-apa yang serius ia akan berulang. Banjir ini bukan kali pertama, bertahun-tahun, oleh itu kita putuskan projek yang mahal RM600 juta atau lebih untuk tebatan banjir akan disegerakan.
"Baru-baru ini, saya tangguhkan sebentar kerana saya tidak mahu projek untuk bantu rakyat ini ada ketirisan, ada kecurian.
"Projek termasuk di Johor harus beroperasi mulai Jun ini, jadi kita tak boleh lengahkan," katanya pada sidang media selepas meninjau situasi banjir di Segamat, Johor.
Menurut portal info banjir JKM, jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 46,361 orang daripada 13,400 keluarga ditempatkan di 298 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Lima negeri terjejas teruk dengan situasi di Johor paling serius dengan jumlah mangsa banjir setakat ini 42,387 orang daripada 12,264 keluarga di pindahkan ke 266 PPS.