PM Anwar lawat Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan dari 15 hingga 19 Mei
Bernama
Mei 14, 2024 20:40 MYT
Mei 14, 2024 20:40 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan rasmi ke Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan dari 15 hingga 19 Mei ini.
Lawatan ini adalah atas jemputan Presiden Kyrgyzstan Sadyr Japarov, Presiden Kazakhstan Kasym-Jomart Tokayev dan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra).
Perdana Menteri akan bertolak dari Doha, Qatar, di mana beliau sedang dalam lawatan rasmi susulan jemputan Amir Qatar Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani.
Mengiringi beliau dalam lawatan ke negara-negara Asia Tengah itu adalah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula akan menyertai delegasi Perdana Menteri di Kyrgyzstan.
Di Kyrgyzstan, Perdana Menteri akan disambut dalam Majlis Sambutan Rasmi Negara sebelum bertemu Presiden Japarov untuk membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian Malaysia
Atas jemputan Kerajaan Kyrgyzstan, Perdana Menteri juga akan melawat pameran kraf dan barangan masyarakat pribumi republik itu di Taman Negara Ala Archa.
Jumlah dagangan Malaysia-Kyrgyz mencecah RM162.3 juta (US$36.35 juta) pada 2023, peningkatan 312.6 peratus daripada 2022. Malaysia mengeksport barangan bernilai RM161.1 juta (US$36.09 juta) ke Kyrgyztan pada 2023 dan mengimport barangan elektrik dan elektronik, kimia serta produk kimia bernilai RM1.22 juta (US$0.27 juta).
Di Kazakhstan, di mana Presiden Tokayev akan menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri, beliau dijangka mengadakan mesyuarat Meja Bulat Pelaburan Kazakhstan-Malaysia dengan industri-industri Kazakhstan.
Perdana Menteri juga akan bertemu dengan Presiden Kazakhstan pada 17 Mei untuk membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama dan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.
Jumlah dagangan Malaysia dengan Kazakhstan pada 2023 berjumlah RM474.5 juta (US$104.2 juta), dengan nilai eksport barangan Malaysia ke Kazakhstan sebanyak RM465.6 juta (US$102.2 juta), dan nilai import dari Kazakhstan sebanyak RM8.9 juta (US$1.9 juta).
Di Uzbekistan, Perdana Menteri dijadual bertemu Presiden Shavkat Mirziyoyev untuk mesyuarat dua hala bagi membincangkan hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan serta bidang kerjasama yang berpotensi.
Perdana Menteri kemudiannya akan melawat Kompleks Imam Hazrati, di mana manuskrip asal al-Quran Khalifah Uthman Affan (Mashaf Uthmani) - yang tertua di dunia - disimpan dan dipamerkan.
Dari Tashkent, Perdana Menteri akan ke Samarkand pada 18 Mei dan beliau dijangka berucap di Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia yang diadakan di Kompleks Pelancongan Laluan Sutera, Samarkand.
Forum yang dihoskan oleh Uzbekistan itu akan turut dihadiri Perdana Menteri Abdulla Nigmatovich Aripov.
Pada 2023, jumlah dagangan Malaysia-Uzbekistan mencecah RM451.1 juta (US$94.03 juta), dengan eksport ke Uzbekistan berjumlah RM449 juta (US$93.6 juta) dan import berjumlah RM1.99 juta (US$414,518).
-- BERNAMA