PM Anwar lawat Brunei sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25

Bernama
Ogos 24, 2024 19:51 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan kerja selama dua hari di sini bermula esok bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 Malaysia dan Brunei. - Gambar fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Brunei dari 25 hingga 26 Ogos bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan (ACL) ke-25 antara Malaysia dan Brunei, satu mekanisme peringkat tertinggi dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata semasa rundingan ALC ini, Anwar dan Sultan Brunei Sultan Hasanal Bolkiah akan mengkaji semula kemajuan kerjasama dua hala dan isu-isu yang tertunggak.
"Sebagai jiran rapat dan rakan kongsi di ASEAN, kedua-dua pemimpin akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama," kata kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra.
Wisma Putra berkata kedua-dua pemimpin juga dijangka akan menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Anwar akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
"ALC ini akan mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan kerjasama pelbagai hala antara kedua-dua negara, yang ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu dan persamaan lain seperti budaya, bahasa dan warisan," kata Wisma Putra.
Pada 2023, Brunei Darussalam merupakan rakan perdagangan ke-30 terbesar Malaysia dan rakan perdagangan keenam terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan berjumlah RM9.31 bilion (US$2.04 bilion).
Jumlah eksport ke Brunei Darussalam pada tahun lepas bernilai RM6.4 bilion (US$1.4 bilion), manakala jumlah import bernilai RM2.91 bilion (US$0.64 bilion). Jumlah lebihan dagangan berpihak kepada Malaysia, bernilai RM3.49 bilion (US$0.76 bilion).
Dari Januari hingga Mei tahun ini, Malaysia mencatat jumlah dagangan sebanyak RM3.53 bilion (US$0.75 bilion) dengan Brunei.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #lawatan kerja #Brunei #Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 Malaysia dan Brunei
;