PM Anwar kritik ‘China-phobia’ yang semakin menular di Barat

Astro Awani
Februari 25, 2024 15:47 MYT
Anwar menegaskan beliau tidak akan terpengaruh dengan sikap prejudis terhadap China. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengkritik gelombang 'China-phobia' yang semakin menular di negara Barat, ketika negara Asia Tenggara sedang cuba menyeimbangkan cabaran dan faedah daripada ketegangan Washington-Beijing.
Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mempersoalkan mengapa Malaysia harus ‘bertengkar’ dengan China, sedangkan ia merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.
Tegas beliau, Malaysia tidak akan terikat dengan satu pendirian semata-mata dan menegaskan beliau tidak akan terpengaruh dengan sikap prejudis terhadap China.
“Kenapa saya harus terikat dengan satu pendirian? Saya tidak akan terikut dengan prasangka kuat kepada China ini, China-phobia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Financial Times, sebagai respons terhadap kritikan Amerika Syarikat (AS) terhadap hubungan Malaysia dengan negara ekonomi terbesar Asia itu.
Di sebalik pergeseran antara AS dan China, negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Filipina dapat memanfaatkan jalinan ekonomi, keselamatan dan politik dengan kedua-dua negara tersebut.
Namun, tegas Perdana Menteri, Malaysia berusaha untuk mengekalkan “hubungan stabil yang baik dengan AS sambil melihat China sebagai sekutu penting”.
Tegasnya, sebarang dakwaan bahawa beliau condong ke Beijing, seperti yang disebut Naib Presiden AS, Kamala Harris pada sidang kemuncak ASEAN di Jakarta pada September, adalah "tidak betul dan sangat tidak adil".
“Kami adalah sebuah negara kecil yang bergelut untuk terus hidup dalam dunia yang kompleks.
“Saya mahu fokus pada apa yang terbaik untuk kami,” kata Anwar kepada Harris.
Washington telah bertahun-tahun berusaha untuk menyekat pembangunan teknologi semikonduktor China, termasuk larangan eksport ke atas komponen dan peralatan pembuatan cip termaju.
‘Perang’ antara dua negara yang memegang ekonomi terbesar dunia itu menimbulkan kegusaran kepada banyak negara, membuatkan negara-negara itu dalam keadaan tersepit.
#Anwar Ibrahim #Amerika Syarikat #China #China-phobia
;