PM Anwar kecam cubaan bunuh Trump, serangan berterusan Israel di Gaza

Astro Awani
Julai 14, 2024 14:40 MYT
Trump dilaporkan cedera pada telinga kanannya dalam insiden tembakan semasa berkempen. - Gambar/ AP
SERDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam insiden tembakan terhadap calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika berkempen di Pennsylvania.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam insiden tembakan terhadap calon Presiden AS, Donald Trump di Pennsylvania, menegaskan keganasan bukanlah penyelesaian dan berharap keadaan terkawal.
  • Trump dilaporkan cedera pada telinga kanannya dalam insiden tembakan semasa berkempen, namun jurucakapnya mengesahkan beliau "dalam keadaan baik".
  • Anwar turut mengulangi pendirian Malaysia yang mengutuk keganasan oleh rejim Israel ke atas Palestin, termasuk serangan udara di kem pelarian al-Mawasi yang menyebabkan banyak nyawa terkorban dan ratusan cedera.

Mengulas insiden tersebut, beliau berharap keadaan terkawal dan menegaskan keganasan bukanlah jawapan, walaupun ada pihak yang menentang tokoh politik berkenaan.
“Apa pun pendirian anda terhadap mana-mana tokoh, ini bukan cara untuk menyelesaikan isu ini.
“Justeru kita melahirkan rasa simpati terhadap Trump dan berharap keadaan terus terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran sambutan Hari Peneroka Felda Kebangsaan 2024 di MAEPS Serdang pada Ahad.
Insiden tembakan yang menimpa Trump ketika beliau berucap di hadapan ribuan penyokongnya menggemparkan negara tersebut.
Begitupun, Trump "dalam keadaan baik" selepas dilaporkan cedera dalam insiden tembakan semasa berkempen di negeri Pennsylvania.
Trump dilihat mengalami kecederaan pada telinga kanannya yang berlumuran berdarah ketika beliau dibawa keluar dari pentas, menurut rakaman media sosial.
Agensi Anadolu melaporkan jurucakap Trump, Steven Cheung berkata bekas presiden itu “dalam keadaan baik”.
Dalam perkembangan lain, Anwar mengulangi bahawa Malaysia mengutuk serangan dan keganasan berterusan oleh rejim Israel ke atas Palestin.
“Malaysia sekali lagi menyatakan pendirian kami bahawa kami mengutuk sekeras-kerasnya keganasan tidak berperikemanusiaan yang berterusan oleh rejim Israel," katanya.
Wisma Putra pada Ahad mengecam serangan bertubi-tubi Israel ke atas rakyat Palestin, termasuk serangan udara yang dilakukan ke atas kem pelarian al-Mawasi pada Sabtu.
Dalam satu kenyataan, ia berkata serangan udara itu berlaku di dalam kawasan yang ditetapkan oleh Israel sendiri sebagai zon selamat untuk rakyat Palestin.
Serangan itu mengakibatkan kehilangan banyak nyawa rakyat Palestin yang tidak bersalah, termasuk wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan ratusan yang lain.
#Anwar Ibrahim #Donald Trump #Israel #Gaza