PM Anwar adakan lawatan rasmi ke Korea
Irfan Faruqi
November 24, 2024 08:45 MYT
November 24, 2024 08:45 MYT
SEOUL: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Korea bermula Ahad, atas jemputan Presiden Yoon Suk Yeol, yang juga lawatan pertama Perdana Menteri ke republik ini sejak mengetuai pentadbiran negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra, hari ini, Perdana Menteri Anwar akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Yoon di Pejabat Presiden Yongsan.
“Kedua-dua pemimpin akan menilai hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Korea yang telah berkembang maju dari segi skop dan intipati sejak penubuhan hubungan diplomatik pada tahun 1960.
“Kedua-dua pemimpin juga dijangka berbincang isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, dan bertukar pandangan mengenai kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan kepengerusian APEC-Republik Korea 2025.
“Kedua-dua pemimpin turut akan menyaksikan majlis pertukaran tiga Memorandum Persefahaman: Kerjasama Pendidikan Tinggi, Kerjasama Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon, Pendekatan Kerjasama di Bawah Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris,” kata Wisma Putra.
Semasa lawatan kerja ini juga, Perdana Menteri dijadualkan menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Republik Korea dan mengadakan pertemuan dengan kapten industri dari syarikat-syarikat terkemuka negara itu.
Anwar juga dijadualkan menyampaikan ucapan khas bertajuk “Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia” di Seoul National University.
Dari Januari hingga September 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Republik Korea mencatat sebanyak RM81.61 bilion. Dari 1980 hingga Jun 2024, sebanyak 392 projek sektor pembuatan dengan kepentingan Republik Korea telah dilaksanakan di Malaysia dengan nilai pelaburan mencecah RM43.10 bilion.
Pada tahun 2023, Republik Korea merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.07 bilion.
Malaysia ialah rakan dagang ketiga terbesar Republik Korea di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan ke-12 terbesar di peringkat global.