PM Anwar harap LHDN negeri tingkatkan kutipan hasil, elak ketirisan
Bernama
Jun 29, 2024 18:35 MYT
Jun 29, 2024 18:35 MYT
GEORGE TOWN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di negeri-negeri, dapat meningkatkan prestasi kutipan hasil dengan antara lain mengelakkan berlakunya ketirisan hasil.
Mengambil contoh LHDN Pulau Pinang, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata LHDN Pulau Pinang berjaya mencatat jumlah yang melebihi unjuran yang lebih kecil pada suku pertama tahun ini.
"Jadi saya minta negeri-negeri lain juga usahakan, kerana kita tidak mahu kebocoran atau keciciran (hasil)," katanya selepas merasmikan Menara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pulau Pinang setinggi 20 tingkat, di Bandar Jelutong hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.
Anwar berkata landasan percukaian dan jumlah pembayar cukai di Malaysia antara terendah di Asia, jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang menuntut jumlah pembayaran cukai yang lebih besar.
"Oleh itu cabaran kepada Hasil (LHDN) bertambah. Kalau kadar percukaian dan juga kelompok kohort yang membayar cukai itu kecil tetapi perbelanjaan kian bertambah, (tapi) kita mahu tingkatkan mutu pendidikan negara kita... maknanya peruntukan pendidikan dan mutu kesihatan juga harus ditambah," katanya.
Mengulas lanjut Anwar berkata beliau memahami kesukaran dan cabaran yang dihadapi LHDN serta Kastam Diraja Malaysia, dalam menjalankan tugas mengutip hasil di mana mereka perlu tegas dan profesional.
"Saya faham kesukaran LHDN dan Kastam perlu memainkan peranan yang tegas. Saya bagi jaminan yang cukup tegas saya tidak mahu rasa saudara rasa gentar.
"Siapa yang harus membayar cukai, tidak kiralah perdana menteri, tauke besar atau Tun atau Tan Sri itu bukan jadi persoalan.
"Peranan saudara harus profesional, harus tegas dan saya diamanahkan sebagai Perdana Menteri tetap akan pertahankan tiap pegawai jalankan tugas ini," katanya.
Terdahulu dalam ucapan, Anwar berkata LHDN Pulau Pinang sangat bertuah kerana meskipun negara ini tidak mencapai hasil unjuran awal sepenuhnya, mereka masih mampu mengatasinya.
"Tentunya Pulau Pinang bertuah kerana dalam keadaan hasil kita itu tidak sepenuhnya menepati unjuran awal, tapi Pulau Pinang Alhamdulillah, kerana kesungguhan saudara dalam ketetapan mendapat kejayaan.
"Jadi saya ucap terima kasih dan menganggap ia satu pedoman kepada rakan-rakan di negeri lain supaya meningkatkan prestasi, kerana kita semua kena mengambil satu sikap bahawa kita dituntut untuk melakukan sesuatu yang lebih baik," katanya.
Selepas ini, Perdana Menteri pada sebelah petang akan menghadiri dua lagi program di Seberang Jaya, iaitu merasmikan Karnival Tekun MADANI Pulau Pinang dan menghadiri Mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang.
-- BERNAMA