PM Anwar hadiri Sesi Permukiman Ke-10 Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura - Zambry

Bernama
Oktober 29, 2023 19:42 MYT
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir ketika sidang media mengenai lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura. - Foto Bernama
SINGAPURA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Singapura untuk Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10 mulai hari ini.
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata lawatan itu merupakan pertemuan pertama Anwar dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dalam kerangka Sesi Permukiman.
Permukiman ini merupakan mekanisme dua hala peringkat tertinggi di antara kedua-dua negara yang diadakan secara bergilir sejak 2007.
"Penganjuran Sesi Permukiman ini telah tertangguh semenjak tahun 2019 berikutan penularan wabak COVID-19," katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.
Menteri itu berkata delegasi daripada Malaysia terdiri daripada lapan orang Menteri yang terdiri daripada Menteri Luar Negeri; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Menteri Dalam Negeri; Menteri Pengangkutan; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Menteri Besar Johor; dan Premier Sarawak.
Turut serta ialah Peguam Negara dan pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian dan Agensi yang berkaitan.
Dalam Sesi Permukiman Ke-10 ini perdana menteri dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam, presiden Singapura yang baharu.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatannya Lee dan diikuti dengan Mesyuarat Delegasi Malaysia-Singapura.
"Sesi Permukiman ini merupakan platform perbincangan dua hala yang penting untuk kedua-dua negara menilai perkembangan kerjasama sedia ada, meneroka inisiatif-inisiatif baharu yang berkepentingan bersama, mencari penyelesaian bagi isu-isu yang tertunggak serta menetapkan hala tuju hubungan dua hala di antara Malaysia dan Singapura," jelas Zambry.
Antara isu-isu utama yang akan dibincangkan semasa Sesi Permukiman ini adalah langkah-langkah dalam menambahbaik kesalinghubungan, usaha-usaha untuk memperkukuh kerjasama ekonomi di antara kedua-dua negara dan meneroka peluang kerjasama dalam tenaga boleh baharu.
"Kedua-dua pemimpin juga dijangka memperhalusi pendekatan-pendekatan yang bersifat progresif dan menang-menang (win-win) dalam menyelesaikan isu-isu dua hala yang tertunggak," katanya.
Kedua-dua perdana menteri itu akan menyaksikan pemeteraian satu Memorandum Persefahaman dalam bidang keusahawanan dan satu surat sampingan (side letter) untuk menambahbaik peruntukan-peruntukan dalam Perjanjian bagi Tabung Pembangunan Perniagaan Negara Ketiga Malaysia-Singapura.
Satu Kenyataan Bersama di antara kedua-dua Pemimpin ini akan dikeluarkan selepas Sesi Permukiman itu berakhir.
Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia.
Pada tahun 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan Singapura meningkat sebanyak 37.6 peratus kepada RM368.19 billion berbanding nilai dagangan pada tahun 2021.
Malaysia dijangka menjadi tuan rumah Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 pada 2024.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Sesi Permukiman Ke-10 Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura #Singapura #Lee Hsien Loong #Zambry Abdul Kadir
;