PM Anwar hadir Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Sabah

Mirlen Axtius
April 30, 2023 14:05 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitiri Kerajaan Negeri Sabah hari ini.
Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.
Anwar yang tiba pada kira-kira 12.20 pagi, diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sempat meluangkan masa untuk bertemu dengan pengunjung yang hadir di pekarangan Jesselton Square, SICC.
Sejurus selepas itu, beliau bersama Hajiji mengiringi Tun Juhar untuk menghadiri majlis rumah terbuka di dewan utama SICC.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti dengan persembahan hiburan yang disampaikan artis tempatan negeri ini.
Anwar dan Hajiji kemudian mengiringi keberangkatan pulang Tun Juhar pada sekitar jam 1.30 tengah hari.
Majlis dihadiri lebih 20,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat sekitar bandar raya Kota Kinabalu, penduduk di kawasan-kawasan berhampiran dan ada yang datang dari luar daerah.
Pengunjung yang hadir dihidangkan dengan pelbagai makanan dan minuman yang disediakan di lebih 55 gerai.
#Rumah Terbuka Aidilfitiri Kerajaan Negeri Sabah #Anwar Ibrahim #Hajiji Noor #Kota Kinabalu
;