PM Anwar hadir Mesyuarat Pembangunan Kedah
Bernama
Mei 4, 2024 20:29 MYT
Mei 4, 2024 20:29 MYT
ALOR SETAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini.
Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri disambut Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini.
Kedua-dua pemimpin itu tiba bersama-sama di Wisma Darul Aman pada 5.40 petang dan disambut beberapa menteri Kabinet dan Exco kerajaan negeri.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Difahamkan, dalam mesyuarat lebih sejam itu Perdana Menteri diberikan taklimat berkaitan projek-projek pembangunan Persekutuan yang sedang dilaksanakan di seluruh Kedah.
Selesai mesyuarat itu, Anwar turut dijadual menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Negeri Kedah di Darulaman Park, Jitra pada 8 malam ini.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim
#Muhammad Sanusi Md Nor
#Mesyuarat Pembangunan Kedah
#Wisma Darul Aman