PM Anwar hadir Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Pulau Pinang
Bernama
Mei 5, 2024 13:16 MYT
Mei 5, 2024 13:16 MYT
GEORGE TOWN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Pulau Pinang di Tapak Pesta Sungai Nibong, dekat sini.
Bertempat di pentas utama, majlis itu turut diadakan serentak dengan Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara yang berlangsung sejak Jumaat.
Anwar yang berbaju Melayu berwarna biru lengkap bersamping, tiba pada 10.50 pagi dengan disambut Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Pada majlis itu, Perdana Menteri menikmati pelbagai hidangan selain beramah mesra dengan tetamu yang hadir sebelum melakukan tinjauan mesra di sekitar tapak program itu.
Antara juadah yang disediakan termasuk lontong, sate ayam, ketupat, lemang, rendang ayam, apam manis, cendol dan kambing bakar.
Majlis turut diserikan dengan beberapa persembahan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang.
Terdahulu, Perdana Menteri menyampaikan ucapan sempena majlis perasmian penutup program itu selain menyempurnakan acara Penyampaian Manfaat Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) dan Penyampaian Cabutan Bertuah Aidilfitri Madani.
-- BERNAMA