PM Anwar hadir majlis makan malam bersama kepimpinan kerajaan Sabah

Bernama
September 11, 2024 23:09 MYT
Anwar membincangkan sesuatu dengan Hajiji ketika menghadiri majlis makan malam kerajaan negeri Sabah di Magellan Sutera Harbour Kota Kinabalu hari ini. - Gambar Bernama
KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis makan malam bersama barisan kepimpinan kerajaan Sabah di sebuah hotel di sini, malam ini.
Ketibaan Perdana Menteri pada 7.27 malam diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal serta Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew, Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, serta ahli jemaah menteri kerajaan Sabah yang lain.
Dalam majlis berlangsung selama satu jam itu, tetamu dihiburkan dengan persembahan nyanyian artis tempatan Sabah.
Terdahulu, Anwar tiba di Kota Kinabalu pada 7.10 malam, sebelum menghadiri majlis makan malam itu yang merupakan sebahagian daripada program dihadiri beliau dalam lawatan rasmi selama dua hari ke Sabah.
Esok, Perdana Menteri dijadual melawat Felda Sahabat di Lahad Datu pada sebelah pagi bagi menghadiri Karnival Segalanya Felda, sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu, yang turut dihadiri Hajiji serta anggota majlis lain.
Anwar dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah petang.
-- BERNAMA
#Perjanjian Malaysia 1963 #pelancongan #lawatan rasmi #Lahad Datu
;