PM Anwar gembira 'kembali' ke Wisma MCA sempena Tahun Baharu Cina

Bernama
Januari 22, 2023 13:55 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga, kanan) ketika upacara Lou Sang sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini 'kembali' ke Wisma MCA selepas lebih 25 tahun, bagi merayakan sambutan Tahun Baharu Cina bersama MCA.
Anwar yang kelihatan gembira ketika hadir pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina itu berkata beliau menghargai undangan MCA ke majlis berkenaan, selepas komponen Barisan Nasional (BN) itu kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan pimpinannya.
"Terima kasih kepada Presiden (MCA) Datuk Seri Wee Ka Siong kerana menjemput saya dan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), memang sudah lama, sudah lebih 25 tahun," katanya selepas hadir di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA di sini hari ini.
Turut hadir isterinya Dr Wan Azizah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Hadir sama Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan beberapa menteri Kabinet.
Anwar berkata ruang perpaduan bersama MCA kali ini, akan dimanfaatkan bagi menumpukan usaha menangani isu pembangunan dan ekonomi negara bersama komponen itu.
Sementara itu Ahmad Zahid menyifatkan 'kembalinya' Perdana Menteri ke Wisma MCA bagi bersama-sama meraikan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini, sebagai petanda baik perpaduan yang lebih erat akan terjalin antara semua bangsa di Malaysia.
"Di bawah Kerajaan Perpaduan, kita perlu menerima hakikat landskap politik baharu telah terbina, kita harap MCA akan menjemput Perdana Menteri setiap tahun," katanya.
"Ia juga membawa mesej negara harus dibangun semula dengan situasi pasca pandemik (COVID-19) dan kita takkan boleh lakukan jika tiada kesepaduan sesama kita," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #sambutan Tahun Baharu Cina bersama MCA #komponen Barisan Nasional #Wan Azizah Wan Ismail
;