PM Anwar gambarkan lawatan kerja ke Rusia suatu yang amat penting

Bernama
September 5, 2024 18:38 MYT
Anwar turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Putin. - Gambar/ PMO
VLADIVOSTOK (RUSSIA): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan kerja dua hari beliau ke Rusia secara peribadinya sebagai amat penting, kerana ini merupakan kali pertama beliau menjejakkan kaki ke negara terbesar di dunia.
Beliau berkata ia merupakan satu penghormatan dan keistimewaan baginya, yang akhirnya dapat menjejakkan kaki di Vladivostok, tempat di mana peninggalan sejarah dan pembangunan diadun dengan baik, dan keluasan Rusia menjanjikan pelbagai peluang keemasan Asia Pasifik.
"Bandar raya ini telah dibentuk oleh pengaruh yang pelbagai, mencerminkan warisan yang kaya dengan tradisi Rusia dan Asia Timur, menjadikan Vladivostok satu penyatuan budaya," katanya dalam ucapan pada sesi pleno Forum Ekonomi Timur kesembilan (EEF), di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkongsikan pentas yang sama dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Naib Presiden China Han Zheng.
Anwar yang tiba di sini semalam, terdahulu turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Putin.
Pada pertemuan itu Anwar bersetuju bahawa potensi sebenar hubungan Malaysia-Rusia belum dimanfaatkan sepenuhnya dan menyatakan komitmen Kuala Lumpur untuk meningkatkan kerjasama dengan Moscow dalam semua bidang.
Bercakap di hadapan hadirin EEF di sini, Perdana Menteri berkata Rusia bukan sekadar realiti strategik dan ekonomi yang menarik perhatian, tetapi juga satu kuasa budaya, intelektual dan saintifik.
Beliau berkata keunggulan Rusia di persada global melangkaui batasan perdagangan dan geopolitik, menjangkau jauh ke dalam jalinan sejarah dan pemikiran manusia.
"Keunggulan Rusia bukan terletak daripada kekuatan ketenteraan atau pengaruh ekonomi, walaupun ia sesuatu yang cukup penting, tetapi daripada kekuatan idea yang berterusan, keindahan ekspresi artistik dan pencarian ilmu yang tidak berbelah bahagi.
"Pencapaian ini membentuk asas kuasanya yang luar biasa, menjadikan Rusia tempat yang dihormati dan dikagumi global, mempengaruhi hati dan minda masyarakat di seluruh dunia," katanya.
Perdana Menteri turut menyatakan kekaguman beliau terhadap kesusasteraan Rusia, dan beliau turut mengimbau karya pengarang Rusia termasuk Fyodor Dostoevsky dan Leo Tolstoy, yang menyelidiki dilema moral dan falsafah yang mentakrifkan apa yang ertinya menjadi manusia.
"Melangkaui kepentingan sastera, penghayatan kesusasteraan Rusia memperlihatkan kedalaman impak negara besar ini terhadap pemikiran global, dan keupayaannya untuk menyatakan pemahaman kita mengenai peranan kita sendiri dalam arus sejarah yang lebih luas," katanya.
Anwar berkata Rusia dalam peranan pentingnya untuk memajukan pengetahuan manusia melalui sains dan teknologi, secara konsisten menolak sempadan kemungkinan, daripada usaha sebagai perintis dalam penerokaan angkasa lepas kepada kerja-kerja pecah tanah dalam fizik nuklear dan sibernetik.
"Sumbangan ini mencerminkan komitmen mendalam untuk memahami dan menguasai dunia semula jadi, menekankan kepentingan Rusia dalam kemajuan kolektif kemanusiaan," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Malaysia #Rusia #Hubungan dua hala
;