PM Anwar "diserbu" murid sekolah ketika makan tengah hari

Bernama
Julai 12, 2024 15:50 MYT
Perdana Menteri "diserbu" sekumpulan murid sekolah di gerai An-Najah Presint 9 Putrajaya hari ini, sebelum menunaikan solat Jumaat. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim "diserbu" sekumpulan murid sekolah ketika sedang menikmati makan tengah hari di gerai An-Najah Presint 9 di sini hari ini, sebelum menunaikan solat Jumaat.
Ketibaan Anwar di gerai itu kira-kira pukul 12.45 tengah hari disambut orang ramai terutama pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9 (2) yang terletak berhampiran gerai berkenaan.
Kanak-kanak sekolah yang turut berada di gerai itu berpusu-pusu bersalaman dengan Perdana Menteri yang mengenakan baju Melayu berwarna biru muda.
Anwar meluangkan masa kira-kira 30 minit menikmati pelbagai juadah makan tengah hari yang turut disertai Setiausaha Koperasi An-Najah, Zainal Mohd Yusoh.
Perdana Menteri kemudian menunaikan solat Jumaat di Surau An-Najah yang terletak kira-kira 60 meter dari gerai itu bersama hampir 1,000 jemaah.
Solat Jumaat dipimpin oleh imam surau berkenaan Hazim Malim yang turut menyampaikan khutbah bertajuk "Perihal Mizan (Timbangan Akhirat)".
-- BERNAMA
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #diserbu murid sekolah #makan tengah hari #Solat Jumaat #gerai An-Najah Presint 9