PM Anwar dijadual ke Dhaka untuk tingkatkan hubungan dengan Bangladesh
Bernama
Oktober 1, 2024 20:30 MYT
Oktober 1, 2024 20:30 MYT
DHAKA: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan singkat ke Bangladesh pada 4 Okt bagi memperkukuh hubungan kedua-dua negara dengan meneroka bidang kerjasama baharu serta meluaskan hubungan dalam pelbagai bidang, lapor United News of Bangladesh (UNB).
Beliau akan melawat Bangladesh atas jemputan Ketua Penasihat kerajaan interim Prof Muhammad Yunus, kata seorang pegawai pada Isnin.
Pada Ogos, Muhammad Yunus menjemput Anwar untuk melakukan lawatan ke Bangladesh secepat mungkin bagi mempereratkan lagi hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara.
"Jadual lawatan itu masih disahkan setakat ini," kata seorang pegawai kanan di Kementerian Luar Negeri kepada UNB, sambil menambah bahawa Anwar dijangka berada di Dhaka selama beberapa jam.
Malaysia merupakan pelabur kelapan terbesar di Bangladesh, menurut pegawai itu.
"Selain isu tenaga kerja, kerjasama yang sedang berjalan serta bidang berpotensi akan turut dibincangkan," katanya.
Perdana Menteri Malaysia dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Ketua Penasihat Muhammad Yunus, selain menghadiri beberapa acara lain di Dhaka.
Pada Ogos, Anwar menghubungi Muhammad Yunus, untuk mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai Ketua Penasihat kerajaan interim Bangladesh.
Muhammad Yunus telah lama menjalin hubungan baik dengan Malaysia.
"Saya memberi jaminan bahawa Malaysia bersedia membantu dan menyokong kerajaan interim dalam usaha membina semula dan memulihkan keamanan dan keselamatan di Bangladesh," kata Perdana Menteri Malaysia.
Malaysia akan menjadi pengerusi ASEAN seterusnya bermula Januari 2025 dan isu Rohingya juga akan dibincangkan, menurut pegawai Kementerian Luar Negeri.
-- BERNAMA