PM Anwar dijadual bertemu komuniti kewangan di Singapura

Shafizan Johari
September 13, 2023 03:21 MYT
Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada jam 10.30 pagi tadi. -Foto PMO
SINGAPURA: Jadual padat menanti perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tiba di Singapura sempena lawatan sehari ke republik berkenaan hari ini.
Beliau dijadual berucap di Sidang Kemuncak Asia ke-10 anjuran Milken Institute menerusi dua sesi khas di sidang kemuncak berkenaan.
Sesi satu jam pertama "A Conversation with the Prime Minister of Malaysia" akan dikendalikan oleh pengacara dan ketua koresponden antarabangsa untuk Asia Tenggara, Bloomberg Haslinda Amin dan akan disiarkan di Astro AWANI.
Ia diikuti dengan sesi 45 minit "Malaysia’s Investment Outlook: A Conversation between YAB Prime Minister and Global Investors" dengan Pengerusi Asia Milken Institute Robin Hu sebagai moderator.
Terdahulu, Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tiba dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada jam 10.30 pagi tadi, disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Azfar Mohamad Mustafar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut dijadual bertemu dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isterinya dalam satu majlis minum petang.
Beliau juga akan mengadakan sidang media bersama wartawan Malaysia pada sebelah petang.
#Anwar Ibrahim #lawatan sehari ke Singapura #Sidang Kemuncak Asia ke-10 #Lee Hsien Loong