PM Anwar dianugerah pingat ‘El Sol del Peru’

Harits Asyraf Hasnan
November 13, 2024 06:30 MYT
Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra menyampaikan pingat 'El Sol del Peru' kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Kerajaan Peru pada Rabu. - Foto Istana Kerajaan Peru
LIMA, PERU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianugerah pingat tertinggi Republik Peru, ‘El Sol del Peru’ dalam satu Istiadat Penganugerahan di Istana Kerajaan Peru pada Rabu.
Pingat itu disampaikan oleh Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra pasca pertemuan kedua-dua pemimpin di luar Minggu Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELW).
‘El Sol del Peru’ yang bermaksud ‘Mentari Peru’ (The Sun of Peru) merupakan satu pengiktirafan dan melambangkan penghormatan tertinggi yang dianugerahkan oleh Republik Peru termasuk dalam menyerlahkan hubungan rapat persahabatan dan kerjasama yang menyatukan kedua-dua negara.
Ia juga menandakan peristiwa penting dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Peru, selain merupakan sebahagian daripada usaha bersama untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama.
Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Si serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Dalam ucapannya, Anwar menyatakan rasa penghormatannya dan menganggap anugerah tersebut sebagai simbol persahabatan yang kukuh antara Malaysia dan Peru.
Beliau juga menegaskan, anugerah tersebut diterima bagi pihak rakyat Malaysia dan berharap hubungan antara kedua-dua negara dapat terus diperkukuh di masa hadapan.
"Walaupun Malaysia dan Peru terletak jauh di antara satu sama lain, kita berkongsi persamaan dari segi kepelbagaian budaya dan alam sekitar. Kedua-dua negara juga sedang menyesuaikan diri dengan perubahan geopolitik global serta persaingan ekonomi yang semakin mencabar," katanya.
Anwar turut menyatakan minatnya untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan memperjuangkan kepentingan negara-negara Selatan Global.
Menurut beliau, jarak yang jauh antara Malaysia dan Peru tidak seharusnya menjadi halangan kepada usaha membina hubungan yang lebih erat dan bermanfaat bagi kedua-dua negara.
Anugerah “El Sol del Perú” pada asalnya diwujudkan di bawah nama 'Orden del Sol' oleh Jeneral José de San Martín, pelopor kemerdekaan Peru, melalui dekri bertarikh 8 Oktober 1821 untuk mengiktiraf khidmat yang diberikan kepada individu yang memperjuang kemerdekaan Peru seperti tentera, orang awam termasuk warga asing.
Pada 1921, sempena ulang tahun satu abad Kemerdekaan Peru, ia telah ditubuhkan semula dengan denominasi 'El Sol del Perú'.
Perintah 'El Sol del Peru' kini dianugerahkan kepada Penguasa, Ketua Negara, Ketua Kerajaan, Menteri Luar Negeri, Menteri Negara, Duta Besar asing atau Presiden pihak berkuasa awam yang diiktiraf.
#PM Anwar Ibrahim #pingat El Sol del Per #Presiden Dina Ercilia Boluarte Zegarra #APEC
;