PM Anwar cadang pertimbang tahanan rumah Najib hanya selepas kes 1MDB selesai

Sinar Harian
Mei 15, 2024 14:20 MYT
Anwar berkata, semua pihak perlu memberi fokus terhadap prosiding kes 1MDB yang sedang berjalan berbanding isu tahanan rumah. - Foto/ Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong hanya perlu mempertimbangkan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai.
Bagaimanapun, beliau menegaskan hanya akan memberi cadangan tersebut jika diminta oleh Seri Paduka Baginda.
“Jika Agong meminta nasihat saya, saya akan berkata, 'Tuanku, lalui proses itu',” katanya ketika wawancara bersama Bloomberg dalam Forum Ekonomi Qatar (DEF) 2024 di Doha pada Selasa.
Sebelum ini, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.
Titah Adendum berkenaan supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, semua pihak perlu memberi fokus terhadap prosiding kes berkenaan yang sedang berjalan berbanding isu tahanan rumah.
"Akhirnya Agong yang akan membuat keputusan.
"Saya sebagai Perdana Menteri tidak akan melangkaui (kuasa) Agong," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/664873/berita/nasional/pm-cadang-pertimbang-tahanan-rumah-najib-selepas-kes-1mdb-selesai
#Anwar Ibrahim #tahanan rumah #Najib Razak #1MDB #Agong
;