PM Anwar cabar pembangkang bawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat
Umavathi Ramayah
September 20, 2024 00:40 MYT
September 20, 2024 00:40 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pembangkang untuk membawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat jika mahu menumbangkan kerajaan.
Perdana Menteri berkata, pembangkang harus mengikut undang-undang dan bukan hanya bermain sentimen bersorak untuk menggesanya 'turun' daripada jawatan itu.
"Ingat negara dia, tak ada ikut peraturan, tak ikut hukum. Saya bagi tahu, kalau betul mahu saya turun, biar saya yang bawa usul undi tidak percaya. Ini bukan sebarangan, kita ini 'Panglima Reformasi'.
"Saya bagi jaminan pada sidang Parlimen, pada pertengahan Oktober, bawa usul, sempat. Kalau lambat pun saya luluskan.
"Bawa usul undi tidak percaya kepada Anwar sebagai Perdana Menteri. Tak payah jerit dan tengok penyokong dia, 'turun, turun, turun'," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat di sini, pada Jumaat.
Perhimpunan yang bertemakan Dari Reformasi ke Malaysia MADANI itu dihadiri kira-kira 10,000 penyokong.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu turut menempelak pembangkang yang dilihat gagal menangani isu banjir di negeri di bawah pentadbiran mereka.
"Kamu turun dulu, banjir pun tak terurus. Muka ini juga yang kena pergi turun di Kedah esok," katanya.