PM Anwar bidas pihak nasihat beliau 'jangan berjalan banyak sangat'

Bernama
Februari 26, 2025 17:47 MYT
Anwar menjelaskan bahawa Malaysia memerlukan pelaburan untuk menyelesaikan masalah pekerjaan dan meningkatkan keupayaan ekonomi negara serta rakyatnya. -Bernama
HANOI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak yang menasihati beliau supaya "jangan berjalan banyak sangat", yang disifatkan beliau sebagai tidak mengetahui kerja keras dilakukannya dalam mencari pelaburan untuk negara.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa nasihat untuk "jangan berjalan banyak sangat" tidak memahami kerja keras yang dilakukannya dalam mencari pelaburan untuk negara.
  • Beliau menjelaskan bahawa Malaysia memerlukan pelaburan untuk menyelesaikan masalah pekerjaan dan meningkatkan keupayaan ekonomi negara serta rakyatnya.
  • Anwar menekankan bahawa lawatan kerja ke luar negara adalah penting untuk menarik pelaburan dan menjalin hubungan strategik, dengan jadual yang padat dan pertemuan penting.

Beliau berkata sebagai sebuah negara dagang, Malaysia memerlukan pelaburan kerana tanpa pelaburan negara tidak boleh menyelesaikan masalah berkaitan pekerjaan atau mewujudkan peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan keupayaan ekonomi negara dan rakyatnya.
"Pelaburan membantu memesatkan pembangunan (negara). Soalnya apakah saya perlu terus berkunjung ke luar negara? Ada yang tegur, 'kita jangan berjalan banyak sangat'. Dia tak tahu kita datang malam, tak sampai hotel terus ada dua pertemuan kemudian sambung lagi, duta tambah pre-council hingga tengah malam. Kemudian pagi-pagi, 7 pagi sudah ada mesyuarat dua hala. Itu tugas kita sampai sekarang dan terus balik bekerja.
"Saya tak ambil satu hari pun untuk bermain golf," kata beliau kepada media Malaysia selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan ASEAN kedua anjuran Kementerian Luar Vietnam dan dihadiri Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon dan Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta.
Ucaptama Perdana Menteri pada forum itu merupakan sebahagian daripada lawatan kerja dua hari beliau ke Vietnam, yang merupakan kali pertama sejak Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai di Hanoi pada 7.10 malam tadi.
Sebaik tiba di Hanoi, Perdana Menteri terus mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam di ibu pejabat parti berkenaan dan menghabiskan masa kira-kira 30 minit berbincang tentang pelbagai perkara melibatkan kepentingan dua hala.
Selepas itu, Anwar bergegas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ramos-Horta dan meluangkan masa kira-kira satu jam bersama pemimpin itu berbincang tentang isu dua hala Malaysia dan Timor-Leste.
Selepas kunjungan hormat terhadap Ramos-Horta, Perdana Menteri menghabiskan masa pula mempengerusikan mesyuarat pre-council dengan delegasi Malaysia yang turut sama dalam lawatan kerjanya di Vietnam sebelum menamatkan harinya yang sibuk itu.
Seawal 7.30 pagi (waktu tempatan) hari ini, Anwar telah mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat dan bersarapan bersama delegasi Vietnam yang diketuai oleh Pham dengan isu-isu kepentingan bersama menjadi perhatian kedua-dua pihak.
Perdana Menteri kemudian menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan kedua, sebelum mengadakan sidang media dengan media Malaysia yang mengikuti lawatan kerja dua harinya ke negara Asia Tenggara itu.
Sebelum pulang ke tanah air, Anwar berkesempatan melakukan kunjungan hormat terhadap Presiden Republik Sosialis Vietnam Luong Cuong, sekali gus menamatkan lawatan kerja dua harinya yang padat dengan pelbagai atur cara rasmi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kementerian Luar serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mempunyai peranan yang strategik berbanding pada tahun-tahun sebelumnya.
Beliau berkata Malaysia akan menerima lawatan daripada pemimpin-pemimpin Afrika Selatan bulan depan diikuti China.
"Pada April Presiden China Xi Jinping. Maknanya bila kita tunjukkan persahabatan beliau pun datang, bila datang (ke Malaysia) itu, beliau datang dengan rombongan perniagaan, berpuluh dan beratus orang, memberikan pendedahan kepada peluang-peluang (perniagaan dan perdagangan) di Malaysia," kata Perdana Menteri.
Semalam Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia telah merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM378.5 bilion pada 2024, yang merupakan paras tertinggi dalam sejarah negara.
Bercakap dalam sidang media tahunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), beliau berkata ia merupakan suatu peningkatan sebanyak 14.9 peratus dari tahun ke tahun dan jumlah pelaburan itu menjangkau 6,700 projek merentas sektor utama.
Tengku Zafrul berkata jumlah pelaburan itu dijangka mewujudkan lebih 207,000 pekerjaan baharu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama.
Walaupun menghadapi cabaran ekonomi global yang berterusan katanya, Malaysia terus menarik pelaburan yang besar dengan pelaburan domestik menyumbang RM208.1 bilion (55.0 peratus) dan pelaburan asing menyumbang RM170.4 bilion (45.0 peratus).
Keyakinan pelabur asing di Malaysia kekal sangat kukuh, dengan pelaburan strategik datang daripada lima negara utama iaitu Amerika Syarikat mendahului dengan RM32.8 bilion, diikuti Jerman (RM32.2 bilion), China (RM28.2 bilion), Singapura (RM27.3 bilion) dan Hong Kong (RM7.4 bilion).
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #jangan berjalan banyak sangat #pelaburan #meningkatkan keupayaan ekonomi
;