PM Anwar bidas dakwaan kerajaan tidak prihatin masalah rakyat
Astro Awani
April 1, 2024 10:45 MYT
April 1, 2024 10:45 MYT
PUTRAJAYA : Kritikan bahawa kerajaan tidak prihatin dan tidak faham permasalahan dihadapi rakyat terutama membabitkan kos sara hidup adalah tidak benar, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, sebetulnya, harga barangan keperluan seperti ayam, telur dan minyak masak diyakini masih rendah serta stabil jika dibandingkan di zaman pentadbiran kerajaan terdahulu.
"Saya bagi contoh umpamanya, tahun 2021 sebelum pertukaran kerajaan, berapa harga ayam? Sampai RM13 sekilogram (kg), sekarang jauh lebih rendah… minyak masak lima kg ketika itu mencecah RM45, jadi kawan pembangkang saya bising tetapi dia lupa dan dia ingat kita pun lupa.
"Masa dia jaga, harga minyak masak untuk lima kg RM45 hingga RM50, sekarang sekitar RM27. Telur ayam, dahulu heboh tidak ada telur, sekarang stabil dan kita sudah guna penyelarasan subsidi, bayangkan harga ayam turun ketimbang dua tahun lalu tanpa bantuan siling," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, pada Isnin.
Bagaimanapun, Anwar tidak menafikan walaupun pihak kerajaan sedang melakukan sebaik mungkin soal kos sara hidup, namun, dunia kini berdepan keadaan ekonomi mencabar.
Kata Perdana Menteri, biarpun isu beras masih lagi berdepan masalah terutama beras tempatan, namun, ketegasan kerajaan serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyaksikan penurunan harga beras import antara RM2 hingga RM3.
Demikian juga dengan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), jelas Anwar, yang disalurkan pada Januari lalu, meningkat lima kali ganda.
"Tahun 2023 (peruntukan) RM130 juta, 2024 (peruntukan) RM700 juta, penerima dahulu untuk 2023 hanya miskin tegar yang terima, untuk 2024 kita tingkatkan untuk miskin tegar dan miskin, 700,000 orang yang peroleh.
"Jadi saya minta saudara tolong jelaskan walaupun penjawat awam tidak semestinya campur arus politik, ini soal dasar kerajaan dan bagi fakta, kalau tidak, seolah (kita) tidak berbuat apa, ada yang mengatakan sejak kerajaan MADANI, tidak ada apa yang dilakukan dan sebahagian walaun kata ya benar," katanya.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah reformasi awal yang dilaksanakan kerajaan berhasil meningkatkan pelaburan selain mendapat pengiktirafan dari negara luar.
Beliau berkata, langkah itu termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 yang menjadikan kerajaan lebih berdisiplin dalam pengurusan ekonomi serta fiskal.