PM Anwar bertemu tokoh ekonomi terkemuka Jeffrey Sachs, bincang tenaga hijau, ASEAN
Bernama
Januari 12, 2025 23:54 MYT
Januari 12, 2025 23:54 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan tokoh ekonomi dan pemikir terkemuka dunia, Profesor Jeffrey D. Sachs dari Columbia University.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu Profesor Jeffrey D. Sachs untuk membincangkan pembangunan mampan, tenaga hijau, dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
- Mereka turut membincangkan dasar luar yang lebih bebas untuk menarik pelaburan ke Malaysia.
- Sachs, pakar ekonomi global dan pemimpin dalam pembangunan mampan, diiktiraf atas sumbangan menangani isu seperti perubahan iklim dan kemiskinan.
Pertemuan itu membincangkan beberapa perkara terkait pembangunan mampan, tenaga hijau dan peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Antara lain, Anwar dan Sachs turut membincangkan dasar luar yang lebih bebas untuk menarik minat para pelabur ke Malaysia.
"Moga pertemuan ini membawa pelbagai manfaat kepada negara, Insya-Allah," kata Perdana Menteri dalam hantaran di media sosial X.
Pertemuan itu diadakan sebelum beliau berangkat ke luar negara (Emiriah Arab Bersatu) untuk tugasan rasmi.
Sachs merupakan profesor ekonomi terkemuka dunia, penulis buku terlaris, pendidik inovatif, dan pemimpin global dalam pembangunan mampan.
Beliau diiktiraf secara meluas kerana strateginya yang berani dan berkesan dalam menangani cabaran kompleks termasuk mengatasi kemiskinan tegar, perjuangan global melawan perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia, krisis hutang dan kewangan antarabangsa, pembaharuan ekonomi negara, serta kawalan penyakit pandemik dan epidemik.
Beliau juga merupakan Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB, Pengerusi Bersama Majlis Jurutera bagi Peralihan Tenaga, ahli akademik Akademi Sains Sosial Pontifikal di Vatican, Pesuruhjaya Suruhanjaya Jalur Lebar PBB bagi Pembangunan, Profesor Kehormat Tan Sri Jeffrey Cheah di Sunway University dan Penyokong SDG untuk Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.
-- BERNAMA