PM Anwar bertemu tiga syarikat gergasi India

Umavathi Ramayah
Ogos 21, 2024 14:00 MYT
Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan tiga syarikat gergasi korporat India iaitu Tata Group, Emami Agro Tech Limited dan HCL Technologies pada Selasa. - Foto Bernama
NEW DELHI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan tiga syarikat gergasi korporat India iaitu Tata Group, Emami Agro Tech Limited dan HCL Technologies, di sini pada Selasa.
Perjumpaan itu adalah fasa terakhir lawatan tiga hari Perdana Menteri ke India. Beliau dan delegasi Malaysia tiba di New Delhi pada Isnin lalu.
Tata Group merupakan sebuah syarikat multinasional tertua di negara itu yang mengendalikan syarikat penerbangan nasional India, Air India serta beberapa perniagaan lain.
Sementara itu, Emami Agro Tech merupakan pemain utama dalam sektor minyak masak dan produk makanan di India.
Manakala, HCL Technologies, yang beribu pejabat di India adalah sebuah syarikat perkhidmatan teknologi maklumat (IT) dan perundingan yang mempunyai rangkaian di 60 negara.
Selepas pertemuan itu, Anwar dijadual menghadiri sesi meja bulat bersama pemain utama industri dan kemudian bertemu Presiden parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP), JP Nadda, sebelum berlepas pulang pukul 4 petang ini.
BJP pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi membentuk kerajaan dengan gabungan Perikatan Demokratik Nasional (NDA) yang mempunyai 293 kerusi dalam dewan rendah parlimen negara itu, Lok Sabha yang mempunyai 543 anggota.
Jumlah kerusi BJP sendiri adalah 240, jauh rendah daripada majoriti mudah 272 kerusi.
Dua sekutu utamanya -- Parti Telugu Desam (TDP) yang berpangkalan di Andhra Pradesh, diketuai ahli politik veteran Chandrababu Naidu dan Janata Dal-United pimpinan Ketua Menteri Bihar, Nitish Kumar -- bersama-sama mempunyai 28 anggota dalam Lok Sabha.
#Anwar Ibrahim #Narendra Modi #Tata #BJP