PM Anwar bertemu Premier China Li Qiang, terima sambutan rasmi
Hasimi Muhamad
April 1, 2023 17:37 MYT
April 1, 2023 17:37 MYT
BEIJING: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya, Li Qiang di Dewan Besar Rakyat di sini, petang ini.
Ini kunjungan pertama kali Perdana Menteri ke atas Qiang selepas menerajui Kerajaan Perpaduan sejak November tahun lalu.
Ketibaan Perdana Menteri itu disambut Qiang dalam upacara rasmi Kerajaan China sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Perdana Menteri diiringi Qiang melakukan pemeriksaan kehormat ke atas Angkatan Tentera China dan kemudian meneruskan sesi mesyuarat dua hala.
Selepas itu, Anwar dan Qiang menyaksikan majlis menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan China.
Selesai menyaksikan MoU itu, Anwar dan delegasi akan menghadiri majlis berbuka puasa dihoskan Qiang, bertempat di Dewan Besar Rakyat.
Delegasi yang turut sama ialah Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Selain itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Pelancongan dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang serta Ahli Parlimen Ayer Hitam yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Tiga MoU yang dimeterai membabitkan protokol untuk meminda perjanjian bagi pemperluas dan memperdalam kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kerajaan Malaysia dan China, membabitkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari Malaysia dan Kementerian Perdagangan dari China.
Selain itu, protokol keperluan fitosanitasi untuk pengeksportan nangka ke China membabitkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dari Malaysia (MAFS) dan Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) turut dimeterai.
Serta protokol terakhir ditandatangani berkait keperluan kuarantin dan kesihatan untuk import makanan akuakultur dari Malaysia ke China melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dari Malaysia (MAFS).
Anwar akan mengadakan sidang media bersama media Malaysia pada jam 8.30 malam bagi berkongsi rangkuman siri lawatan kerja rasmi empat harinya ke China sejak Rabu lalu.
Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke tanah air pada pukul 9 malam ini.