KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan wang tunai kepada seorang nelayan di Pahang, bagi meringankan bebannya dan keluarga yang sedang diuji kerana pendapatan terjejas.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan wang tunai kepada seorang nelayan di Pahang untuk meringankan beban keluarganya yang terjejas pendapatan.
  • Keadaan rumah nelayan tersebut, Supian Saman, sangat daif dengan dinding rapuh dan bumbung yang tidak mampu menahan hujan lebat. Pihak berkuasa akan membantu membaik pulih rumahnya.
  • Program Ziarah MADANI bukan hanya menziarahi tetapi juga membawa harapan dan bantuan kepada mereka yang memerlukan.


Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi kepada Supian Saman, 39, di Kampung Darat Sungai Ular, Cherating, ketika mengunjungi rumahnya bersempena dengan Ziarah MADANI.

"Hidup sebagai nelayan bukan mudah, apatah lagi apabila laut bergelora. Saya turut dimaklumkan sudah empat hingga lima bulan mereka tidak dapat turun ke laut kerana ombak kuat menyebabkan pendapatan seharian terjejas teruk," kata Ahmad Farhan menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.


Beliau berkata keadaan rumah Sufian juga serba daif dengan dinding semakin rapuh, malah bumbung juga seolah-olah tidak mampu menahan hujan lebat.

Justeru, beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pahang akan membantu membaik pulih rumah Supian supaya lebih selesa dan selamat untuk didiami.

Sementara itu, Ahmad Farhan berkata program Ziarah MADANI bukan sekadar menziarahi, tetapi ia juga membawa harapan kepada mereka yang memerlukan bantuan.

"Diharapkan Encik Supian sekeluarga dimurahkan rezeki dan dipermudah segala urusan," katanya.

-- BERNAMA