PM Anwar beri sumbangan kepada seniwati Safiah Ibrahim bantu ringan kos perubatan

Bernama
Ogos 5, 2024 22:30 MYT
Ahmad Farhan (empat dari kanan) menyantuni Sophia Ibrahim (tiga dari kiri) mewakili Perdana Menteri Anwar bagi menyampaikan sumbangan kepad seniwati itu. - Foto Facebook/Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menghulurkan sumbangan kepada seniwati negara Safiah atau Sophia Ibrahim, 75, yang dikhabarkan mengalami katarak mata sehingga mengganggu fungsi penglihatan beliau.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, Anwar berkata, sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau iaitu Ahmad Farhan Fauzi yang mewakilinya.
"Beliau perlu segera menjalani prosedur pembedahan mata bagi mengelak komplikasi yang tidak diingini.
"Justeru, saudara Farhan telah menyampaikan sumbangan bagi pihak saya untuk meringankan beban kos perubatan," katanya.
Perdana Menteri turut berharap pembedahan Safiah yang berlakon dalam filem Dr Rushdi di samping Seniman Agung negara iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjalan lancar dan lekas diberi kesembuhan.
- BERNAMA
#PM Anwar Ibrahim #Sophia Ibrahim #PM hulur sumbangan #seniwati negara