PM Anwar beri penghormatan terakhir kepada mendiang Joseph Kurup

Bernama
April 20, 2024 17:41 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Tan Sri Joseph Kurup di Wisma Fook Lu Siew, hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Tan Sri Joseph Kurup di Wisma Fook Lu Siew di sini.
Perdana Menteri yang diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor tiba di pusat peringatan itu pada 2.22 petang dan disambut anak mendiang Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup sebelum bertemu ahli keluarga termasuk balu mendiang Puan Sri Melinda Mak Soak Fong.
Anwar kemudian beramah mesra dengan para hadirin di pusat itu sebelum beredar untuk berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang ini.
Joseph, 79, yang merupakan pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada Rabu lepas (17 April) dan jasad mendiang yang diterbangkan dengan pesawat komersial tiba di sini, pada 11.20 Khamis malam.
Mendiang adalah bekas Ahli Parlimen Pensiangan pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional).
Joseph bersara daripada politik tahun lepas selepas memegang jawatan Presiden PBRS sejak penubuhan parti itu pada 1994 dan anaknya Arthur yang juga Timbalan Presiden menggantikan ayahnya sebagai Presiden pada Januari tahun lepas.
Pada Rabu lepas, Anwar dalam hantaran laman Facebooknya mengucapkan takziah kepada Arthur serta keluarga atas pemergian Joseph.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #penghormatan terakhir #Joseph Kurup #Sabah
;