PM Anwar belum berniat ambil tindakan terhadap Bloomberg - Fahmi

Khalis Khadir
Oktober 8, 2024 22:47 MYT
Fahmi berkata ia merupakan hak media untuk memetik sumber tanpa nama, namun dalam masa menegaskan perlu dilakukan secara berhemah. Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Laporan portal berita antarabangsa, Bloomberg yang dikatakan mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa agar tidak menyiasat bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Farhash Wafa Salvador tiada dalam perbincangan mesyuarat Jemaah Menteri pada Selasa.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri yang mempengerusi mesyuarat berkenaan juga memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan setakat ini.
“Mesyuarat tidak dimaklumkan isu ini. Kita lihat Perdana Menteri tidak ambil apa-apa tindakan setakat ini atau belum ada tindakan yang dimaklumkan kepada Jemaah Menteri,” katanya pada sidang media mingguan, di sini, pada Selasa.
Portal terbabit pada bulan lalu menyiarkan laporan memetik tiga sumber tidak dinamakan dengan mendakwa Anwar mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak menyiasat pembelian saham sebuah syarikat melibatkan Farhash.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, media mempunyai hak untuk membuat pelaporan berita, melindungi dan menjaga kerahsiaan sumber mereka.
"Bagaimanapun, kami juga berharap media memberikan hak untuk menjawab dan menegakkan etika kewartawanan, termasuk dalam pemilihan tajuk berita.
"Kadang-kadang saya perasan dan ini adalah peringatan bukan sahaja dalam kalangan anggota Kabinet tetapi juga dalam perbincangan di media sosial, mengenai perbezaan antara tajuk berita dan kandungan sebenar berita berkenaan," katanya.
Sementara itu mengulas isu pertukaran cuti hujung minggu di Johor yang akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula Januari tahun depan, Fahmi memaklumkan ia akan melibatkan penyelarasan di peringkat pusat dan negeri.
Katanya ia perlu diuruskan dengan baik supaya tidak berlaku sebarang isu dari segi perkhidmatan terutama oleh agensi-agensi persekutuan.
#Kerajaan Perpaduan #SPRM #media sosial #Bloomberg
;