PM Anwar bawa mesej kemanusiaan di Gaza dalam lawatan kerja di Turkiye
Bernama
Oktober 23, 2023 14:11 MYT
Oktober 23, 2023 14:11 MYT
ISTANBUL: Tempoh kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Istanbul untuk pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan mungkin singkat, namun sebagaimana kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, ia amat produktif.
Mesej utama yang disampaikan perdana menteri dalam pertemuan dengan presiden negara itu adalah betapa isu kemanusiaan serta nasib penduduk Palestin di rantau berkonflik di Gaza sentiasa menjadi perkara yang meruntun sanubari seluruh rakyat Malaysia, dan ada peranan yang boleh dimainkan Malaysia, Turkiye dan seluruh dunia.
Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar Turkiye di ASEAN dengan jumlah perdagangan AS$4.7 bilion (AS$1=RM4.51) pada 2022, pertumbuhan 35 peratus dari 2021.
Keakraban hubungan Malaysia dan Turkiye berada di tahap amat baik ketika ini, dengan melihat kepada pertemuan dan perbincangan antara Anwar dan Erdogan yang telah berlangsung beberapa kali dalam tahun ini sahaja.
Dalam tempoh lawatan kerja tidak sampai 24 jam di Istanbul, Anwar telah mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kewangan negara itu Mehmet Simsek, Menteri Luar Hakan Fidan dan Pengarah Pertubuhan Perisikan Kebangsaan Turki Ibrahim Kalin sebelum pertemuan dengan Erdogan.
Dalam setiap perjumpaan, terutama dalam perbincangan dengan Erdogan yang berlangsung kira-kira dua jam, selain perbincangan mengenai hubungan dua hala, kerjasama ekonomi dan perdagangan, perkara utama yang dibangkitkan Anwar adalah mengenai keganasan Israel dan isu kemanusiaan yang dilihat semakin terhakis di Gaza.
Selepas Turkiye, Anwar berlepas ke Mesir untuk satu lagi lawatan kerja dua hari.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua lawatan kerja itu mencerminkan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi mengenai isu Palestin khususnya bagi meringankan penderitaan dan kesengsaraan dialami penduduk Palestin akibat krisis di Semenanjung Gaza yang masih berterusan.
Semasa Malaysia terus gigih memperjuangkan hak rakyat Palestin, Anwar dalam sidang media di penghujung lawatan kerja di Turkiye, menyuarakan rasa kesal dengan beberapa negara barat yang dilihat dengan sengaja menutup mata terhadap isu kemanusiaan di rantau berkonflik itu.
Turkiye pada pandangan Anwar telah melangkah ke hadapan dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di Gaza, apabila negara itu menghantar banyak bantuan perubatan ke kawasan konflik, meskipun menghadapi kesukaran untuk membawa bantuan ke kawasan pedalaman.
Terdahulu sebelum tiba di Turkiye, Anwar, dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh, mengetengahkan konflik semasa Palestin-Israel. GCC adalah pakatan politik dan ekonomi yang dibentuk oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Oman, Qatar dan Kuwait.
Usai lawatan kerja di Turkiye, Anwar berlepas ke Mesir dan dijadual bertemu dengan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.
Sebaik sahaja kakinya menjejak bumi Mesir, dalam ucapan yang disampaikan sempena Majlis Ramah Mesra dengan diaspora dan pelajar Malaysia di negara itu pada malam yang sama, mesej utama dibawakan oleh Anwar adalah 'hentikan segera serangan di Gaza'.
-- BERNAMA