PM Anwar bangkitkan semula idea Tabung Kewangan Asia
Madiha Abdullah
Februari 10, 2023 15:34 MYT
Februari 10, 2023 15:34 MYT
BANGKOK: Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan idea penubuhan Tabung Kewangan Asia (AMF) dikaji semula bagi menghadapi krisis ekonomi.
Menurut Perdana Menteri, rantau ini akan mendapat keuntungan daripada AMF yang pernah dicadangkan oleh Jepun pada 1997, tetapi tidak pernah dilaksanakan.
"Kita boleh bekerjasama dengan orang luar tetapi kita harus mempunyai kekuatan domestik, serantau dan Asia, tidak semestinya untuk bersaing tetapi mempunyai zon penampan (bagi menghadapi krisis ekonomi).
"Bagi mereka yang mempunyai pengalaman menanganinya, ia akan sangat membantu kerana setiap kali terdapat tanda-tanda masalah, kita segera mengadakan sesi dan mula saling memberi peringatan antara satu sama lain," katanya katanya ketika memberi ucaptama dalam Pertemuan Perniagaan dengan Pemimpin Industri - The Future of ASEAN, di sini, hari ini.
Anwar mencadangkan agar AMF disemak untuk memasukkan negara seperti China, Jepun dan Korea Selatan.
Cadangan AMF oleh Jepun untuk memerangi Krisis Kewangan Asia 1997 tidak pernah direalisasikan berikutan tentangan dari Amerika Syarikat dan keengganan China untuk menyokongnya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, tidak banyak yang boleh dilakukan ASEAN berhubung ketegangan antara China dan Amerika Syarikat.
"Ini tentang ketersambungan, tentang pendigitalan, tentang pelaburan, tentang menggunakan ini sebagai asas penting untuk kuasa besar dari segi ekonomi, kedua-duanya dengan China atau Amerika Syarikat.
"Malangnya kita terpaksa bergelut dengan masalah ketegangan antara China dan Amerika Syarikat, sangat sedikit yang boleh kita lakukan, selain memastikan kita akan kekal berkecuali, jalin hubungan baik dengan China dan Amerika Syarikat dan mendapat manfaat dari segi pelaburan baharu, kemudahan baharu, yang akan memberi kesan positif kepada sebahagian besar rakyat kita.
"FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) ASEAN dan semua inisiatif lain, yang sedang berjalan, diakui keberkesanannya.
“Oleh itu, kita harus mendorong perdagangan dan pelaburan dengan menggunakan kelebihan perbandingan,” tegas Perdana Menteri lagi.