PM Anwar bakal umum KPI setiap menteri
Shafizan Johari
Januari 8, 2023 22:22 MYT
Januari 8, 2023 22:22 MYT
JAKARTA: Kerajaan sedia menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Begitupun, katanya perkara berkenaan akan dibincangkan terlebih dahulu dalam satu program permukiman yang akan dihadiri barisan Kabinet pada minggu depan.
Beliau berkata dalam program berkenaan, menteri-menteri Kabinet yang mengangkat sumpah pada 3 Disember lalu, akan berpeluang memberikan input setelah lebih sebulan dilantik ke jawatan masing-masing.
Perdana Menteri berkata demikian dalam sesi soal jawab pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan di Jakarta, malam ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Terdahulu, Anwar dalam ucapannya berkata kerajaan berusaha memacu semula pertumbuhan ekonomi yang lebih segar serta meyakinkan, dan fokus utama pentadbiran Kerajaan Perpaduan adalah pengukuhan ekonomi yang mampan dengan menarik pelaburan selain menjamin keadilan sosial.
"Malaysia mesti bebas daripada kegelojohan kelompok elit kecil yang menggunakan kuasa untuk memperkayakan diri dan puak mereka. Saya tidak akan bertolak ansur sama sekali walaupun ini menggugat kedudukan saya," katanya.