PM Anwar antara pemimpin terawal bertemu Xi Jinping
Hasimi Muhamad
Mac 31, 2023 17:55 MYT
Mac 31, 2023 17:55 MYT
BEIJING: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping di Great Hall of the People, di sini petang ini.
Perdana Menteri disambut oleh Jinping sebaik tiba sebelum kedua-dua mereka meneruskan mesyuarat yang berlangsung hampir sejam.
Ia merupakan pertemuan empat mata pertama antara kedua-dua pemimpin, dan Anwar antara pemimpin luar pertama yang mengunjungi Jinping selepas pemilihan semulanya sebagai presiden bagi penggal ketiga pada 10 Mac.
Turut mengiringi Perdana Menteri dalam pertemuan tersebut ialah Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sebelum ini, Zambry memaklumkan perbincangan akan tertumpu kepada langkah-langkah baharu yang boleh diambil di dalam pelbagai bidang untuk menyemarakkan lagi hubungan dua hala, terutamanya dalam konteks sambutan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan sambutan ulang tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik Malaysia-China.
Kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan langkah-langkah konkrit yang boleh diambil dalam bidang perdagangan, kerjasama politik, pencegahan rasuah serta isu-isu ketamadunan.
Sebaik selesai pertemuan dengan Jinping, Anwar kemudian bertemu dengan Pengerusi National People's Congress, Zhao Leji di lokasi sama.
Pada malam ini, Perdana Menteri dijadual menghadiri iftar yang dianjurkan oleh Malaysia-China Chamber of Commerce, di mana program berkenaan dijangka dihadiri para pemimpin komuniti Islam di China dan tokoh-tokoh korporat Malaysia.
Anwar tiba di Hainan pada 29 Mac lalu bagi memulakan lawatan rasmi ke China, sebelum berkunjung ke Beijing sehingga Sabtu (esok).