PM Anwar akui proses bawa pulang Jho Low rumit
Umavathi Ramayah
Mei 5, 2023 12:15 MYT
Mei 5, 2023 12:15 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui proses membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low agak rumit.
Menurutnya, proses berkenan bukan sahaja melibat Malaysia, malah beberapa negara termasuk bantuan perisikan dan Polis Antarabangsa (Interpol).
Namun katanya, Malaysia sedang mengadakan rundingan menerusi saluran diplomatik dengan beberapa negara bagi mempercepatkan proses itu.
"Kita sedang berunding dengan beberapa negara untuk mempercepatkan proses membawa pulang Jho Low,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-75 dan Ibu Pejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) di sini, pada Jumaat.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengulas laporan yang menyatakan Malaysia sedang berunding dengan China bagi membawa pulang Jho Low.
Pengarang bersama buku Billion Dollar Whale mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Bradley Hope yang memetik sumber, berkata rancangan itu sedang dibincangkan kerajaan berikutan lawatan Anwar ke China, bulan lalu.
Perdana Menteri bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut rundingan terbabit.
"Kami tidak pernah mengesahkan negara (tempat Jho Low dipercayai bersembunyi)," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada rundingan itu membabitkan China, Anwar berkata, beliau tidak boleh mengulas mengenainya.