PM Anwar akhiri lawatan kerja di UK, berlepas ke Belgium
Hasimi Muhamad
Januari 19, 2025 21:06 MYT
Januari 19, 2025 21:06 MYT
LONDON: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan kerja di London, United Kingdom (UK) hari ini.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan di UK dengan meraih potensi pelaburan RM11 bilion dan eksport RM500 juta sebelum bertolak ke Belgium.
- Lawatan dua hari ke Belgium akan membincangkan hubungan Malaysia-Belgium dan Malaysia-EU, termasuk isu serantau dan antarabangsa.
- Anwar dijadual menyampaikan ucaptama di College of Europe dan bertemu pemimpin seperti Alexander De Croo dan Antonio Costa.
Pesawat khas yang membawa Anwar berlepas ke Belgium pada pukul 12 tengah hari waktu tempatan, untuk meneruskan lawatan kerja dua hari ke negara itu.
Perdana Menteri berada di UK selama lima hari atas jemputan rakan sejawatannya, Keir Starmer.
Sepanjang lawatan tersebut, pertemuan antara kerajaan dengan kerajaan dan perniagaan dengan perniagaan berlangsung bagi mengukuhkan hubungan bilateral dan perdagangan.
Hasil lawatan kerja tersebut, sebanyak RM11 bilion potensi pelaburan diraih, manakala nilai potensi eksport sebanyak RM500 juta.
Di Belgium, Perdana Menteri dijadual bertemu rakan sejawatnya, Alexander De Croo.
Kementerian Luar memaklumkan pertemuan tersebut bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Belgium dan mempergiat usaha kerjasama, serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Perdana Menteri juga akan bertemu Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa, dan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan cara untuk mempertingkatkan lagi hubungan Malaysia-EU dan kerjasama serantau.
Semasa lawatan itu, Anwar akan turut menyampaikan ucaptama di College of Europe, bertajuk Bridging Regions: Strengthening Southeast Asia-European Resilience.
Dari Januari hingga November 2024, perdagangan dua hala Malaysia dengan EU, termasuk Belgium, berjumlah RM200 bilion (AS$43.71 bilion).