PM Anwar akan umum hasil lawatan ke China
Hasimi Muhamad
Mac 31, 2023 14:18 MYT
Mac 31, 2023 14:18 MYT
BEIJING: Kerajaan dijangka mengumumkan tiga kemajuan besar yang dicapai hasil lawatan rasmi empat hari Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China.
Berucap di Tshinghua University, Perdana Menteri berkata ia masing-masing melibatkan pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan China, serta kerjasama dalam sektor pendidikan melibatkan universiti.
"Diharap esok saya akan umumkan ia selepas (selesai) pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping hari ini dan Perdana Menteri China, Li Qiang esok.
“Ia melibatkan kemajuan besar dari segi hubungan ekonomi kedua-dua negara iaitu pelaburan dan perdagangan, serta kolaborasi dengan universiti.
"Saya tidak hanya memerlukan sokongan daripada Presiden tetapi juga memerlukan sokongan daripada profesor dan juga para pelajar," katanya di sini pada Jumaat.
Perdana Menteri menambah, Asia akan berdiri teguh menuju masa depan yang makmur, dan perkara itu bermula dalam institusi pendidikan dan program akademik.
Dalam masa yang sama, Menteri Kewangan itu berkata Malaysia membuat keputusan berdasarkan nilai dan prinsip bagi memastikan tadbir urus yang baik dan polisi yang akan memberi manfaat kepada rakyat.
“Terdapat cabaran besar dan saya fikir itu juga merupakan sumbangan besar kepimpinan China yang bekerja dengan negara di rantau ini dan dunia,” katanya.
Anwar pada petang ini dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Jinping di Great Hall The People.
Pertemuan atas undangan Jinping itu akan berlangsung sekitar pukul 4.50 petang waktu tempatan.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan langkah-langkah konkrit yang boleh diambil dalam bidang perdagangan, kerjasama politik, pencegahan rasuah dan juga isu ketamadunan.
Selesai pertemuan dengan Jinping, Anwar bersama delegasi dari Malaysia dijadual mengadakan pertemuan dengan Pengerusi National People's Congress, Zhao Leji, di lokasi sama.
Anwar kini dalam rangka kerja rasmi ke China bermula 29 Mac hingga 1 April, dengan China menjadi negara Asia Timur pertama yang dilawati Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.