PM Anwar akan sampai Kenyataan Negara di UNGA, Jumaat
Bernama
September 22, 2023 14:35 MYT
September 22, 2023 14:35 MYT
NEW YORK: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan Kenyataan Negara pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, Jumaat.
Beliau dijangka memulakan ucapan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 9.45 pagi (9.45 malam waktu Malaysia).
Sesi pagi prosiding hari ini akan dimulakan dengan ucapan oleh Presiden Republik Macedonia Utara Presiden Stevo Pendarovski, diikuti Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Mauritius Pravind Kumar Jugnauth dan Anwar.
Perdana menteri dijangka berkongsi usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim untuk mencapai Agenda 2030, pelan hala tuju negara di bawah rangka kerja Malaysia MADANI serta beberapa isu global.
Ini adalah kemunculan pertama Anwar sebagai Perdana Menteri pada perhimpunan tahunan itu.
Tema perbahasan umum tahun ini ialah Membina Semula Kepercayaan dan Menghidupkan Semula Perpaduan Global: Mempercepatkan Tindakan Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Ke Arah Keamanan, Kemakmuran, Kemajuan dan Kemampanan Untuk Semua.
Selepas menyampaikan ucapan di UNGA, perdana menteri akan menyampaikan Khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY).
Pada sebelah malamnya, Anwar juga akan menjadi hos majlis makan malam untuk kira-kira 1,000 diaspora Malaysia.
Ucapan perdana menteri di UNGA itu akan disiarkan secara langsung oleh Bernama TV (Astro 502), www.bernama.com dan platform media sosial Bernama.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim
#Kenyataan Negara
#UNGA
#Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
#New York