PM Anwar adakan lawatan rasmi ke Singapura esok
Astro Awani
Januari 29, 2023 11:10 MYT
Januari 29, 2023 11:10 MYT
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Singapura pada Isnin.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan itu atas jemputan rakan sejawatannya, Lee Hsien Long.
"Lawatan ini merupakan lawatan rasmi sulung beliau ke republik itu selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
"Anwar akan bertemu pemimpin-pemimpin Singapura termasuk Presiden Singapura Halimah Yacob dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
"Kedua-dua perdana menteri akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman untuk Mempromosikan Kerjasama dalam Data, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital serta dua Kerangka Kerjasama dalam Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Anwar juga dijadual untuk mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura.
Anwar akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Delegasi juga akan disertai oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bersama pegawai kerajaan yang berkaitan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Johari Openg, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan turut menyertai delegasi tersebut.
"Lawatan ini mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Singapura sebagai jiran rapat serta negara anggota ASEAN, termasuk jalinan antara rakyat yang erat serta hubungan ekonomi yang kukuh.
"Lawatan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk meneroka peluang kerjasama bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala dan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
"Pada 2022, Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM367.53 bilion (AS$83.53 bilion), dengan peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021," jelasnya.