PM Anwar adakan lawatan rasmi ke Singapura akhir bulan ini

Luqman Hariz
Januari 17, 2023 18:54 MYT
Ini merupakan lawatan rasmi kedua buat Anwar sejak memegang jawatan Perdana Menteri. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Singapura akhir bulan ini.
Manakala Presiden Singapura, Halimah Yacob akan mengadakan lawatan balas ke Malaysia pada Mac.
Ini merupakan lawatan rasmi kedua buat Anwar sejak memegang jawatan Perdana Menteri.
Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata perkara itu dipersetujui dalam pertemuan bersama rakan sejawatannya, Vivian Balakrishnan yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi dari 15 hingga 18 Januari ini.
Zambry berkata, turut dibincangkan ialah pengukuhan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura, di samping meneroka kolaborasi menang-menang dalam beberapa isu tertunggak.
“Kami turut komited untuk meneruskan penglibatan positif melalui mekanisme dua hala sedia ada dan menekankan penyelesaian isu secara harmoni dan mencari penyelesaian terbaik bagi memelihara hubungan baik Malaysia-Singapura,” katanya.
Zambry menambah, pertemuan ini mencerminkan hubungan yang telah lama terjalin serta usaha-usaha berterusan bagi mengukuhkan hubungan rapat antara kedua-dua negara di bawah Kerajaan Perpaduan yang baharu.
#Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #Singapura #Lee Hsien Loong
;