PM akui PRN Sabah antara punca peningkatan mendadak kes COVID-19
Astro Awani
Oktober 6, 2020 19:26 MYT
Oktober 6, 2020 19:26 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi antara punca peningkatan mendadak kes COVID-19 di Malaysia.
Menurutnya, PRN itu terpaksa diadakan selepas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lepas.
“Ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kita tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan. Pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh enam puluh hari selepas DUN dibubarkan. Ia tidak boleh ditangguh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Perutusan Khas Situasi Semasa COVID-19 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi beliau pada Selasa.
Tambah beliau, SPR telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketika kempen pilihan raya, namun ada SOP yang tidak dipatuhi.
“Misalnya penjarakan sosial (fizikal). Ketika saya turun berkempen di banyak tempat, saya lihat SOP mengenai penjarakan sosial agak kurang dipatuhi.
“Walaupun hampir keseluruhan memakai pelitup muka, tetapi masih ramai yang duduk dekat-dekat dalam keadaan yang agak sesak. Sehinggakan saya terpaksa membuat SOP saya sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sebahagian besar kes di Sabah sebelum ini berpunca daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran.
“Apabila ditahan di pusat tahanan, mereka menjangkiti tahanan lain. Virus ini juga telah menjangkiti kakitangan pusat tahanan, ahli keluarga mereka dan komuniti setempat.
“Begitu juga di Kedah. Virus ini sebahagian besarnya merebak dalam kalangan tahanan penjara selain terdapat kluster-kluster baharu dalam komuniti.
“Kerana itu bilangan mereka yang positif COVID-19 meningkat secara mendadak sejak beberapa minggu yang lalu,” katanya.
Jelasnya, tindakan awal kerajaan ialah mempertingkatkan kawalan sempadan di negeri Sabah dengan menambah jumlah anggota keselamatan yang bertugas dan mengatur gerak aset-aset seperti kapal dan bot peronda untuk mengawal sempadan perairan negara.
“Beberapa daerah di Sabah dan Kedah juga telah diisytiharkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar atau Targeted Enhanced Movement Control Order (TEMCO) untuk menghalang wabak ini daripada menular ke tempat-tempat lain,” ujarnya.
#Sabah
#PRN
#pilihan raya
#kes baru
#kes meningkat
#Perutusan Khas
#Perdana Menteri
#Muhyiddin
#Muhyiddin Yassin
#Abah
#TEMCO
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#SPR
#TYT
#Kedah
#pati
#PM
#SOP
#PKP
#PKPD
#penjarakan sosial
#KKM