PM akhiri lawatan di India jumpa pemimpin BJP, ketua pembangkang
Umavathi Ramayah
Ogos 22, 2024 08:45 MYT
Ogos 22, 2024 08:45 MYT
NEW DELHI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan tiga hari di India pada Rabu dengan pertemuan ringkas dengan pemimpin parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) dan pembangkang negara itu, Kongres.
Sebelum beliau berlepas pulang pada pukul 3.58 petang waktu tempatan (6:28 petang waktu Malaysia) dari Pangkalan Udara Stesen Tentera Udara Palam, beliau menerima kunjungan daripada Presiden parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP), JP Nadda serta Ketua Pembangkang Parlimen India, Rahul Gandhi.
Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan itu, Malaysia dan India bertukar-tukar pandangan terkait situasi politik India dan Malaysia mutakhir ini selain isu-isu serantau yang menjadi kepentingan bersama.
"Dalam pertemuan singkat ini, kami bertukar pandangan terkait situasi politik kedua-dua negara selain membincangkan isu-isu mutakhir yang berlaku di rantau ini,” katanya di sini pada Rabu.
Dalam pertemuan J.P Nadda yang juga Menteri Kesihatan India, beliau memberitahu, Malaysia dan India sempat membincangkan soal hubungan dua hala kedua-dua negara yang harus diperkukuh demi manfaat bersama pada Selasa.
Dalam satu hantaran di media sosial mengenai pertemuan dengan Rahul, Anwar menyifatkannya sebagai sahabat baik beliau.
Rahul merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri India yang ditembak mati kumpulan pengebom berani mati pada 1991, ketika itu Rahul berusia 20 tahun.