PM akan beri penjelasan berhubung lawatannya ke China di Dewan Rakyat esok
Astro Awani
April 3, 2023 23:20 MYT
April 3, 2023 23:20 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan penjelasan berhubung implikasi kewangan yang terlibat sekiranya semua pegawai perubatan lantikan kontrak diserap masuk dan seterusnya dilantik secara tetap.
Menurut Aturan Mesyuarat yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen, Anwar dijangka menjawab soalan yang dikemukan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri pada Selasa.
Dalam soalannya, Madius meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan pegawai perubatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam dan implikasi kewangan yang terlibat jika semua pegawai perubatan lantikan kontrak diserap masuk dan seterusnya dilantik secara tetap.
Selain itu, Anwar juga akan menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun yang meminta perdana menteri menyatakan hasil lawatan sulung beliau ke China baru-baru ini dari segi ekonomi dan peluang pelaburan serta apakah manfaat yang rakyat Malaysia peroleh kelak.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi pula meminta Perdana Menteri menyatakan justifikasi tindakan kerajaan menyahsenaraikan produk cecair dan gel nikotin yang digunakan dalam alat rokok elektronik daripada Akta Racun 1952.
Dr Ahmad Yunus juga meminta Perdana Menteri menjelaskan pertimbangan kerajaan tentang implikasi negatif penyahsenaraian produk cecair dan gel nikotin.
#Perdana Menteri
#Anwar Ibrahim
#Dewan Rakyat
#Parlimen
#pertanyaan
#PMQT
#Sidang Dewan Rakyat
#PM10