PM ajak warga Kuantan sertai sesi Temu Anwar esok
Bernama
Julai 31, 2023 23:41 MYT
Julai 31, 2023 23:41 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak warga Kuantan untuk turut serta dalam sesi Temu Anwar yang berlangsung esok di Dewan Ibnu Khaldun Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di bandar raya itu.
Menerusi catatan di laman Facebook beliau hari ini, Anwar berkata mengikut pengalaman lalu soalan yang diajukan kepada beliau semestinya terbuka serta menyentuh pelbagai topik sama ada politik dan kekuasaan, falsafah, agama atau apa sahaja.
"Insya-Allah ruang ini kita gunakan sebaiknya dalam mencambah budaya wacana yang sihat dan segar ketimbang gejala mencerca dan yang tidak mencerdikkan masyarakat," katanya.
Perdana Menteri berkata seperti yang selalu beliau tekankan rakyat mesti diberi ruang secara terus untuk menyoal pemimpin melibatkan pelbagai isu yang mengesankan warga.
"...dan ini adalah sebahagian dari rencana untuk melonjak negara ke arah sistem masyarakat yang madani," katanya.
Berdasarkan poster yang dikongsi menerusi hantaran itu, sesi Temu Anwar akan berlangsung pada 1 tengah hari dan pendaftaran boleh dibuat menerusi laman sesawang temuanwar.com.
-- BERNAMA