PM ajak kibar Jalur Gemilang, tanda bersatu perangi COVID-19
Ridauddin Daud
Ogos 7, 2021 11:23 MYT
Ogos 7, 2021 11:23 MYT
KUALA LUMPUR: Sempena Bulan Kebangsaan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak semua rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda semua bersatu-padu dalam melawan pandemik COVID-19.
Menurutnya, Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam hati setiap rakyat Malaysia dan mencetuskan solidariti dalam mendepani cabaran mendatang.
Beliau juga optimis selepas 64 tahun merdeka, amalan mengibar Jalur Gemilang sentiasa dibudayakan dalam kehidupan seharian tanpa rasa malu dan janggal.
“Saya berharap agar seluruh rakyat Malaysia, daripada penjawat awam di kementerian dan agensi, warga sektor swasta dan sesiapa juga akan menyahut seruan kerajaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh penuh rasa bangga, tertib dan rasa hormat.
“Saya juga berharap agar saudara dan saudari mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman ataupun kenderaan masing-masing.
Zahir cintakan negara dan doa Malaysia bebas COVID-19 - PM
“Marilah kita bersama-sama melakukannya demi menzahirkan rasa cinta terhadap negara, diiringi doa dan harapan agar negara akan segera pulih dari wabak COVID-19, dan kita dapat kembali kehidupan normal dan mengecapi kemakmuran bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Amanat Perdana sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 pada Sabtu.
Tambahnya, meskipun negara masih berdepan tempoh sukar akibat COVID-19, Muhyiddin percaya rakyat Malaysia tetap mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi.
“Kita telah dilahirkan di tanah air ini dan menjadi sebahagian warganegara yang bersumpah setia untuk mempertahankannya sehingga akhir hayat kita.
“Semangat juang tinggi pemimpin dan nenek moyang kita dalam menuntut kemerdekaan negara, yang penuh ranjau dan berliku perlu dijadikan iktibar dan memberi inspirasi kepada kita semua.
“Kali ini, kita sedang berperang dengan musuh yang sukar dilihat dan lebih berbahaya. Saya berdoa agar saudara dan saudari akan terus cekal dan dikurniakan kekuatan dalam usaha kita untuk menamatkan wabak COVID-19 ini,” ujarnya.
Tambahnya, beliau percaya melalui semangat cintakan negara yang sentiasa diperteguhkan, Malaysia akan dapat mengekalkan kehidupan harmoni, saling mengasihi dan bersatu hati dalam kalangan rakyat meskipun berlainan kaum, agama dan latar belakang.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini masih mengekalkan tema yang sama seperti tahun lepas iaitu Malaysia Prihatin.
“Ini adalah seiring dengan iltizam dan aspirasi berterusan Kerajaan Perikatan Nasional dalam menyemai rasa cinta semua rakyat kepada negara selain menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat ketika kita masih memerangi pandemik COVID-19 semenjak lebih setahun yang lalu,” katanya.
#Perdana Menteri
#PM
#Muhyiddin Yassin
#Bulan Kebangsaan
#Jalar Gemilang
#kibar
#bendera
#Malaysia
#COVID-19
#Hari Malaysia
#Merdeka
#pandemik
#penjawat awam
#rakyat Malaysia
#Malaysia Prihatin