PM adakan lawatan kerja ke UAE, perkukuh kerjasama serantau
Hasimi Muhamad
Januari 11, 2025 18:37 MYT
Januari 11, 2025 18:37 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menghadiri Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW) dari 12 hingga 14 Januari ini.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan, lawatan kerja Perdana Menteri ke negara itu adalah atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Yang Mulia Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
Jelas kementerian itu, Perdana Menteri akan menyertai Majlis Pembukaan ADSW dan Majlis Anugerah Hadiah Kelestarian Zayed bersama Ketua-ketua Negara dan kerajaan dari rantau Afrika, Asia, Asia Tengah, Eropah, serta Timur Tengah.
"Program ADSW 2025 turut merangkumi sesi plenari di mana Perdana Menteri akan menyertai dialog bertajuk “ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity”.
"Perdana Menteri akan mengetengahkan perspektif dan pengalaman Malaysia dalam peralihan ke arah sumber tenaga lestari," jelas kenyataan itu.
Perdana Menteri diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Kementerian Luar menambah, semasa lawatan tersebut juga, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE merangkap Pemerintah Abu Dhabi, Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
Selain itu, Anwar dijadual bertemu dengan rakan sejawat, Yang Mulia Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
"Perbincangan dijangka akan tertumpu kepada pengukuhan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, khususnya dalam sektor-sektor utama seperti tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan dan tenaga, kecerdasan buatan dan pusat data.
"Isu-isu serantau dan global yang berkepentingan turut akan dibincangkan," ujarnya.
Dalam masa sama, Kementerian Luar berkata Perdana Menteri dijadual menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA).
Katanya, perjanjian itu akan membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri juga akan meneroka peluang untuk mengukuhkan kerjasama serantau, terutama dalam konteks peranan ASEAN dalam mempromosikan pembangunan lestari dan inovasi hijau di Asia Tenggara.
Kementerian Luar berkata, Perdana Menteri kemudian akan berlepas ke London, United Kingdom pada 14 Januari bagi meneruskan program rasmi beliau di negara itu.
"Lawatan kerja tersebut sebagai usaha untuk meningkatkan kedudukan global Malaysia dan memperkukuhkan hubungan strategik negara dengan rakan antarabangsa utama," jelas kementerian itu lagi.
Dari Januari hingga November 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE bernilai RM39.53 bilion.
Pada 2023, UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah, dengan jumlah dagangan sebanyak RM39.63 bilion.
Malaysia ialah rakan dagang keempat terbesar UAE di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan ke-32 terbesar di peringkat global.