PLUS tutup semua lorong tambah nilai sehingga 29 Oktober

Bernama
Oktober 23, 2019 04:47 MYT
PLUS menasihati pengguna lebuh raya merancang perjalanan mereka dan terlebih dahulu menambah nilai kad TnG mereka selain memastikan ia mempunyai baki yang mencukupi.- Gambar hiasan
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup semua lorong tambah nilai di plaza tol bermula Khamis (24 Oktober) sehingga 29 Oktober bagi melancarkan pergerakan trafik sepanjang musim perayaan Deepavali yang akan disambut Ahad ini.
Menurut kenyataan PLUS pada Rabu, penutupan lorong tambah nilai seperti mana dilaksanakan pada setiap musim perayaan bertujuan untuk mengurangkan kesesakan yang disebabkan pengguna lebuh raya beratur di lorong tambah nilai.
"Pada musim perayaan ini, PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik sebanyak 17 peratus kepada dua juta pada hari-hari puncak iaitu Jumaat hingga Sabtu (25-26 Okt) dan Isnin (28 Okt) berbanding 1.7 juta kenderaan pada hari-hari biasa.
"Oleh itu, perjalanan di plaza tol dijangka terjejas sekiranya masih terdapat pengguna yang terkandas dan tidak dapat membuat transaksi tol apabila baki pada kad Touch 'n Go (TnG) mereka tidak mencukupi. Ia sudah pasti menganggu keselesaan dan perjalanan pengguna lain," menurut kenyataan itu.
Justeru, PLUS menasihati pengguna lebuh raya merancang perjalanan mereka dan terlebih dahulu menambah nilai kad TnG mereka selain memastikan ia mempunyai baki yang mencukupi.
Penggunaan perkhidmatan e-Wallet PayDirect ketika ini masih belum boleh digunakan, justeru pengguna Lebuhraya PLUS dinasihatkan agar menambah nilai kad TnG mereka untuk kegunaan di semua transaksi tol di lebuh raya kendalian PLUS, menurut kenyataan itu
-- BERNAMA
#lebuh raya #musim perayaan #penutupan lorong #PLUS #tambah nilai #tng #Touch n Go
;